top of page
Search

By Saidah Asilah


Apakah yang boleh dikategorikan sebagai penipuan kewangan? Mengikut Bank Negara Malaysia, penipuan kewangan boleh didefinisikan sebagai aktiviti yang mengandungi unsur tipu helah melibatkan transaksi kewangan dengan sengaja untuk menguntungkan individu/organisasi dan merugikan mangsa. Terdapat pelbagai jenis penipuan termasuk skim cepat kaya, Macau Scam, pemalsuan identiti dan lain-lain. This article was originally published on MyPF.my.



Skim Cepat Kaya, Skim Piramid dan Penipuan Kewangan

Akhbar dan televisyen melaporkan PDRM berkata kebanyakan golongan professional telah terjerat dalam skim cepat kaya. Kos sara hidup dilaporkan antara faktor utama sertai skim cepat kaya. Apabila sudah terjebak dengan skim cepat kaya ini, perancangan kewangan bagai angin lalu, ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kebanyakan masa skim cepat kaya terdiri daripada golongan bawah 40 tahun. Mereka inilah juga yang mempunyai kelebihan merancang awal kerana 2 faktor: kelebihan umur dan “compounded dividend/interest”.


Golongan ini akan tertambat untuk membuat perancangan kew awal apabila terjebak dengan kesalahan demi kesalahan kewangan. Contoh biasa adalah; pinjaman dengan faedah yang tinggi, pinjaman demi pinjaman yang tidak menguntungkan serta terjerat dengan penipuan skim cepat kaya.


Oleh kerana ramai yang sanggup membuat pinjaman kerana terpengaruh dengan skim cepat kaya, berikut antara langkah untuk kita mengenalpasti perniagaan yang mempunyai tanda skim piramid:


1. Tawaran komisen sebagai ganjaran penajaan ahli dan pengedar baru.

Setiap ahli baru akan dikenakan yuran keahlian. Dikatakan yuran tersebut sebagai pelaburan pokok, walhal untuk habuan kepada pengusaha skim ini.


2. Penggandaan wang apabila merekrut ahli.

Mengatakan ada penggandaan wang menerusi kemasukan ahli yang semakin ramai. Semakin besar ahli, semakin besar pendapatan yang bakal diperoleh.


3. Tidak jelas bagaimana sumber pendapatan diperoleh.

Banyak skim ini tidak menceritakan bagaimana sumber pendapatan mereka dijana. Skim-skim ini mengatakan keuntungan adalah hasil penjualan barangan.


4. Penceritaan pengalaman mereka yang sudah menerima habuan dan ganjaran.

Selalunya, mereka ini adalah mereka yang terdahulu sudah masuk ke dalam skim ini. Realitinya, habuan ini daripada wang ahli yang beramai-ramai menyertai kemudiannya.


5. Banyak bercerita tentang pulangan pelaburan yang tinggi.

Skim ini tidak boleh dipanggil pelaburan kerana wang pokok yang dilaburkan ahli bukan “bekerja” untuk mendapat pulangan atau dividen.


6. Pelaburan yang sebenar, dalam konteks saham, akan mendapat pemilikan ekuiti, yang diterbitkan oleh syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Selain saham, pelaburan yang berdaftar memberi setiap ahli risalah pelaburan dan juga penyata kewangan yang diaudit setiap tahun.



Macau Scam


Macau Scam memperdaya mangsa melalui panggilan palsu yang menyamar sebagai anggota polis, pihak bank, atau agensi kerajaan selain menawarkan hadiah kemenangan cabutan bertuah. Dua tahun lepas, sehari sebelum saya menyambut Aidilfitri, gangguan emosi yang dahsyat telah dihadapi oleh diri saya sendiri apabila menerima panggilan bertalu-talu serta SMS daripada Skim Macau. Di daerah Sepang sahaja, PDRM melaporkan 12 kes diterima sejak Januari tahun ini, kebanyakannya adalah dari golongan professional dan pesara.


Antara langkah untuk mengendali Macau Scam adalah:


1. Bertindak rasional dengan tidak melayan sebarang panggilan.

Tidak mudah panik dan bertindak tegas akan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa segera. Tenang dan jangan bertindak mengikut emosi kerana mereka sering kali mengeksplotasi emosi penerima panggilan melalui senario-senario tertentu contohnya seperti; dakwaan penggubahan wang haram, kes langgar lari, penculikan ahli keluarga dan sebagainya.


2. Skeptikal terhadap maklumat yang diberi oleh pemanggil.

Tidak mempercayai sebarang maklumat, walaupun benar seperti nombor IC yang disebutkan oleh pihak pemanggil. Segera semak dengan bank dan pihak berkenaan untuk pengesahan dan aduan. Ini adalah kerana bank jarang berkomunikasi dengan pelanggan melalui telefon dan selalunya melalui mod surat-menyurat.


Gagal Mengawal Emosi Akan Membawa Kepada Tindakan Tidak Rasional


Kebanyakan punca kehilangan wang adalah disebabkan kegagalan mengawal emosi. Menurut Dr Edward Charlesworth, pakar psikologi Amerika Syarikat, wang adalah punca tekanan hidup yang parah. Mereka yang tertekan dengan hutang akan membuat keputusan di luar jangkaan, berfikiran singkat tanpa menimbang akibat sesuatu perkara.


Mereka yang tidak mempunyai keutamaan dalam perancangan kewangan akan cepat berputus asa dan berada dalam keadaan penafian. Menerusi pengamatan saya, mereka akan membuat hutang tanpa henti. Golongan ini boleh mengalami masalah tekanan hidup, rendah keyakinan diri, mempunyai sifat kebendaan melampau dan kemurungan. Penyelesaian bagi golongan ini adalah membeli belah sebagai satu bentuk terapi.

Segala nasihat, idea dan cadangan yang digariskan tidaklah sama kepada setiap individu. Golongan ini boleh mendapatkan nasihat professional untuk mencapai matlamat kewangan sebenar. Usaha ini bukan mudah, dan memerlukan masa untuk seseorang mula belajar langkah pengurusan kewangan yang baik.


Saya merupakan salah seorang perancang kewangan bertauliah, yang bukan sahaja tertakluk memberi produk pelaburan atau perlindungan yang sesuai. Malahan lebih kepada memahami dan membantu sesorang mencapai matlamat kewangannya.


Langkah-langkah tersebut merangkumi bermula daripada analisis aliran tunai, pengurusan hutang, nilai aset-aset setelah ditolak hutang-hutang, kedudukan kewangan, perlindungan diri, harta dan keluarga, pelaburan yang sesuai, pembayaran cukai, perancangan untuk persaraan, dana pendidikan sesuai untuk anak, dan perwarisan harta. Berdasarkan kes yang diterima kami, pegawai bank yang berlatarbelakang pendidikan kewangan juga ramai mendapatkan khidmat nasihat professional untuk mengetahui pendapat kedua, selain daripada pengetahuannya sendiri.


Jika mengagungkan kehidupan selebriti, renungkan contoh di Amerika Syarikat. Menurut Biro Kajian Ekonomi Kebangsaan, hampir 16% pemain Liga Bola Sepak Kebangsaan telah difailkan status bankrap, hanya selepas 12 tahun bersara. Banyak selebriti mengalami contoh serupa, namun lebih parah adalah atlit.


Contoh realiti terbaik pencapaian kebebasan kewangan atau pelaburan ialah Lesley Scorgie, penulis buku terkenal Rich by Thirty: A Young Adult’s Guide to Financial Success (2007). Beliau dinamakan oleh Oprah Winfrey sebagai seorang wanita di ambang jutawan ketika umurnya mencecah 30 tahun. Lesley telah mengamalkan pelaburan pertamanya di dalam Canada Savings Bond ketika umurnya 10 tahun.


Untuk lebih arif tentang penipuan dan skim cepat kaya ini, di luar sana, carilah seorang mentor atau jurulatih kewangan peribadi serta menambah ilmu di dalam soal kewangan dan pelaburan.


Kongsi bersama kami cerita anda dan komen di bawah jika anda atau kenalan anda pernah terjerat dengan mana-mana penipuan kewangan.


Saidah started her career as a graduate trainee with Securities Commission Malaysia. Then, with a deep interest in investments, she furthered her studies in MSc in International Business and Emerging Markets, graduating in 2013 from The University of Edinburgh, UK.Saidah is a Certified Financial Planner and describes herself as a multi-talented adventurer who gives a positive impact to whomever she meets.

By Wan Nur Syahirah Wan Mohamed


Perbezaan antara doktor dengan penasihat kewangan mungkin ketara dari segi luaran namun secara batinnya, konsep kedua-dua profesion ini lebih kurang sama. Bagi pendapat anda, mengapakah kedua-dua profesion ini sama-sama diperlukan dalam masyarakat. This article was originally published on MyPF.my.



Tugas Seorang Doktor

Pesakit jumpa doktor, mengadu sakit bahagian mana. Doktor akan buat analisa dengan soalan-soalan yang berkaitan. Tanya sejarah pesakit untuk benar-benar faham keadaan dan masalah mereka. Doktor akan diagnos berdasarkan apa yang pesakit rasa dan bagitahu. Apabila sudah kenal pasti masalah, barulah doktor akan cadangkan ubat yang sesuai.


Ubat dan dos diberi hanya berdasarkan keadaan dan keperluan pesakit. Mungkin sakit yang sama dengan pesakit lain tapi ubat yang diberi perlu mengikut kesesuaian tubuh pesakit. Doktor juga akan beri nasihat yang baik, pesan pantang larang supaya kesihatan bertambah baik dan kekal sihat sepanjang masa.


Caj konsultasi akan dikenakan bergantung pada kes. Terpulang pada pesakit untuk dapatkan ubat di mana. Beli terus di klinik atau dapatkan di mana-mana farmasi.

Jika ada masalah yang lebih spesifik, pesakit perlu rujuk kepada doktor pakar yang spesifik kepada organ, komplikasi dan penyakit contohnya seperti pakar jantung, pakar sakit puan ataupun pakar kesihatan kanak-kanak. Masing-masing ada kepakaran dan kemahiran sendiri.




Tugas Seorang Penasihat Kewangan

Begitu juga dengan penasihat kewangan. Kami ibarat seorang doktor. Penasihat kewangan tidak akan terus cadang produk. Seperti doktor yang tidak terus beri ubat, tetapi diagnos kedudukan kewangan klien dengan membuat analisa terlebih dahulu. Lain orang, lain ubat dan keperluannya.


Banyak skop perancangan kewangan, contohnya:

  • Analisa pendapatan/aliran tunai

  • Pelaburan masa depan

  • Takaful/perlindungan pendapatan

  • Pengurusan hutang

  • Profil faraid

  • Cukai dan zakat

  • Perancangan harta/wasiat

Apa saja masalah, sudah tentu kita rujuk pada ahli bidangnya. Masalah kesihatan, doktor adalah ahlinya. Mereka diberi kepercayaan untuk buat keputusan bagi kita. Untuk sentiasa sihat, nasihat doktor perlu didengari.


Kalau nak sihat kewangan, carilah perancang kewangan berlesen. Rancang betul-betul duit supaya sihat wang dan selesa berpanjangan.


Cuma bezanya, jumpa doktor bila dah sakit tetapi jumpa penasihat kewangan tak boleh tunggu sakit kewangan. Kan lagi baik bila dapatkan nasihat sebelum timbul masalah.

Untuk mendapatkan rujukan kepada penasihat kewangan yang bertauliah, sila hubungi kami hi@wealthvantage.com.my.


Wan Nur Syahira graduated with a Bachelor in Accounting from University of Malaya. She has also obtained her Master Degree in Islamic Economics (Islamic Finance) from UKM. She is a qualified Islamic Financial Planner by Financial Planning Association Malaysia (FPAM) in collaboration with Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM). She attained professional designations of Licensed Financial Planner by Securities Commission and Financial Adviser Representative by Bank Negara Malaysia. Having been in the financial services sector since 2008, Wan Nur Syahira believes in providing holistic financial planning solutions for her clients from an independent point of view. She strives to create value and pursues the best practice for her clients. She is determined to value add to her clients through upgrading and learning from the industry experts.

Updated: Nov 3, 2019

By Nursyahirah Mohd Ghazali


Ketika di masa mula mendirikan rumah tangga, kita akan lebih kerap memikirkan tentang hal kewangan. Begitu juga apabila mula menimang cahaya mata. Kita akan mengutamakan pendidikan mereka supaya mereka menjadi insan yang celik ilmu. Itulah harapan setiap ibu bapa dan tambahan pula, di zaman digital, lambakan info tentang pengurusan kewangan dan cara mendidik anak dapat diakses dengan mudah. This article was originally published on MyPF.my.




Apa yang memberi saya motivasi untuk mengajar kanak-kanak tentang kewangan? Mengikut bancian yang dijalankan oleh Bank Negara pada tahun 2015, 75% dari rakyat Malaysia mempunyai masalah untuk mendapatkan RM 1,000 apabila berlaku kecemasan. Ya, data tersebut sangatlah membimbangkan!


Bukan itu sahaja. Malaysia juga mempunyai nisbah pinjaman kepada GDP sebanyak 88.5% pada akhir 2016 (jauh melepasi nilai purata iaitu 30%) yang menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai antara kadar pinjaman isi rumah yang tertinggi di Asia Tenggara.


Jadi, persoalannya adalah bagaimana kita hendak menangani isu kewangan negara, mendidik anak muda tentang perangkap kewangan dan secara langsung, melahirkan generasi masa depan yang lebih baik? Semestinya dengan pendidikan awal tetapi malangnya, kita tidak diajar tentang kewangan di sekolah apatah lagi di usia muda. Tetapi, sebagai ibu bapa, kita perlu memastikan bahawa pendedahan awal dapat diberi untuk memupuk kecelikan kewangan dalam diri mereka kelak.


Jadi, di sini saya ingin berkongsi tips kepada golongan ibu bapa untuk mendidik anak-anak tentang wang. Tips ini diperoleh dari buku berjudul “Make Your Kid A Money Genius (Even If You’re Not)” yang ditulis oleh Beth Kobliner, penulis kewangan peribadi terkenal di US. Berikut adalah 5 tips yang diaplikasikan oleh diri saya sendiri dan relevan untuk golongan ibu bapa:


1. Mula lebih awal dari sepatutnya


Walaupun kita sering beranggapan bahawa kanak-kanak masih cuba untuk memahami dunia di sekeliling mereka, mereka sebenarnya lebih cepat belajar berbanding orang dewasa.


Contohnya; apabila di majlis keramaian seperti Hari Raya, bagus untuk kita terangkan apa itu duit raya walaupun kepada kanak-kanak berusia dua tahun. Kelak, mereka akan lebih faham tentang konsep wang dan lama-kelamaan akan lebih mudah untuk mereka menyerap ilmu kewangan.


2. Pastikan apa yang diterangkan sesuai dengan umur


Ini adalah langkah paling penting dalam mendidik anak-anak tentang kewangan. Anda mahu memastikan bahawa mereka berminat untuk mendengar dan tidak bosan apabila bercerita tentang wang. Cuba untuk mengelakkan perbualan bersama anak-anak seperti seorang professor yang berceramah di dewan kuliah (komunikasi satu hala). Sesuaikan perbualan dengan umur, karektor kanak-kanak dan tahap kemampuan ingin belajar.


Contohnya; apabila membawa anak-anak ke kedai makan, mereka akan memerhatikan tingkah laku kita apabila kita pergi ke kaunter bayaran. Untuk satu kelainan, kita boleh meminta tolong mereka untuk ke kaunter dan membuat bayaran bagi pihak kita. Sudah tentu reaksi mereka akan berbeza setelah menghulurkan wang tersebut seolah-olah seperti mereka telah melengkapkan suatu tugas yang penting. Dari situ, kita boleh menganalisa tingkah laku mereka dan apabila keluar membeli-belah, letakkan tugas membayar barangan peribadi kepada mereka sendiri (sudah tentu dengan menggunakan duit yang diberi) dan menyimpan baki yang diperoleh di dalam tabung simpanan.


Walaupun remeh, aktiviti ini dapat membentuk minda mereka untuk mula biasa dengan tabiat menyimpan. Pastikan mereka menyimpan dengan seliaan ibu bapa untuk kanak-kanak bawah 5 tahun kerana terdapat risiko tercekik apabila menangani duit syiling.


3. Jauhkan perbalahan mengenai wang dari penglihatan dan pendengaran anak-anak


Tidak disangkal lagi apabila menyentuh isu kewangan, akan ada situasi apabila pasangan tidak dapat mencapai kata sepakat. Kita semua dibesarkan dengan cara yang berbeza jadi tidak hairanlah apabila perspektif tentang kewangan juga berbeza bagi setiap individu. Setiap orang mempunyai gambaran bahawa perspektif kewangan suami/isteri adalah selari dengan perspektif kewangan mereka jadi inilah yang akan menyebabkan perselisihan faham. Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk mencapai kata sepakat dalam pendidikan kanak-kanak supaya mereka tidak keliru dengan pendapat yang berlainan.


Perselisihan faham antara ibu bapa mungkin dapat mewujudkan situasi tegang di mana pasangan akan meremehkan pendapat atau prinsip lain yang tidak sejajar. Secara tidak langsung, anak-anak jugalah yang akan berhadapan dengan pengalaman berkenaan wang yang negatif.


Saya amat bersetuju dengan pendapat penulis buku tersebut yang mencadangkan konsep “time-out” untuk ibu bapa apabila mula berselisihan faham tentang hal kewangan di depan anak-anak. Kestabilan dalam institusi keluarga dapat mendatangkan impak yang besar atas emosi dan tumbesaran anak-anak. Oleh itu, perselisihan faham dalam hal kewangan perlu diletakkan sejauh mungkin dari anak-anak.




4. Elakkan dari berlumba-lumba untuk menunjuk kekayaan kepada orang lain


Susah untuk kita mengelakkan diri dari membuat perbandingan dengan orang lain, tambahan pula di era budaya obses media yang memburukkan lagi keadaan. Keutamaan setiap orang berbeza antara satu sama lain; ada yang suka bercuti 3 kali setahun, ada yang suka mengumpul harta dan ada yang suka berbelanja. Kita boleh cuba sebaik mungkin untuk melawan nafsu untuk bercakap mengenai pilihan kewangan orang lain lebih-lebih lagi di hadapan anak-anak. Setiap orang mempunyai gaya perbelanjaan dan nilai yang berbeza jadi jika anda bukan penasihat kewangan peribadi seseorang, andaian dan tanggapan anda mungkin salah.


Perbandingan hanya akan mewujudkan sikap tidak bersyukur dalam diri anak-anak. Jika anda hendak menjauhi sikap anak-anak yang berpendapat bahawa kita tidak sekaya (atau lebih kaya) orang lain, percaya akan pilihan kewangan anda dan lawan perasaan diri untuk berbanding-banding dengan orang lain. Jika anda tidak percaya dengan pilihan kewangan anda, dapatkan khidmat penasihat kewangan peribadi yang bertauliah. Mereka akan memberi pendapat berdasarkan angka dan data yang diberi supaya anda dapat mencapat matlamat kewangan anda.



5. Jangan pamerkan tabiat kewangan yang buruk di hadapan anak-anak


Semua orang sedia maklum bahawa kanak-kanak mahir meniru sikap orang yang lebih dewasa. Jadi, cuba yang terbaik untuk memastikan struktur kewangan isi rumah dalam keadaan yang baik dan pupuk tabiat kewangan yang baik dalam diri anak-anak. Ia bermula dengan ibu bapa dan jika anda belum menjadi ibu bapa, ingatlah pepatah Inggeris, “Membesarkan anak memerlukan usaha satu kampung”, apatah lagi untuk mendidik satu generasi. Anda mungkin mempunyai anak atau  anak saudara yang mengagumi anda jadi dorongan dari pihak anda untuk memupuk tabiat yang baik amatlah penting.


Anda boleh membelek tips lain di dalam buku “Make Your Kid A Money Genius (Even If You’re Not)”, jika anda berminat. Buat masa sekarang, lima tips di atas bertujuan untuk menguatkan asas sebelum mendidik tentang perihal kewangan dan mengasah kemahiran kewangan dengan lebih lanjut.


Nursyahirah is a Licensed Financial Planner at Wealth Vantage Advisory. She graduated with MEng. in Electronic and Computer Engineering from University of Birmingham. Inspired by a passion in personal finance, she decided to embark on professional certification, CFP (Cert TM) to enable herself to advise clients' financial holistically. Nursyahirah strongly believes that financial education starts from home; hence good money-habit parents play huge role in raising money genius kids (celik wang). She envisions that collective efforts from parents in raising their kids will result in a more financially literate generation helping to transform Malaysia for the better. Interested in a career as a financial planner? Contact us at hi@wealthvantage.com.my


bottom of page