Memahami Realiti Pengurusan Harta Pusaka di Malaysia
- Nur Zafira Shamsol Baharin

- Feb 11
- 4 min read
Pengurusan harta pusaka selalu menjadi dilema yang perlu dihadapi waris selepas berlakunya kematian. Baca lebih lanjut tentang pengurusan harta pusaka di Malaysia

Pemergian insan yang kita sayang sering disangka sebagai noktah kepada segala urusan dunia. Saat tanah menutupi jasad, ramai menyangka kehidupan akan kembali kepada rutin biasa. Namun, bagi waris yang ditinggalkan, hakikatnya perjalanan sebenar baru sahaja bermula. Urusan yang tidak pernah dibayangkan mula muncul satu persatu, rumah masih atas nama si mati, akaun bank dibekukan, simpanan tidak boleh dikeluarkan, dan kenderaan tidak boleh dipindah milik. Keadaan ini sering menimbulkan persoalan yang menyakitkan hati:
“Bukankah ini harta keluarga kami?”.
Semua sekatan ini berlaku bukanlah kerana waris tidak berhak, tetapi kerana harta pusaka perlu ditadbir terlebih dahulu mengikut undang-undang. Waris mula menyedari bahawa pemergian seseorang bukan sekadar kehilangan emosi, tetapi juga permulaan kepada satu proses perundangan yang panjang dan mencabar.

Pengurusan Harta Pusaka : Amanah Yang Ditinggalkan
Apabila persoalan mula timbul, ramai waris cuba memahami apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan harta pusaka. Secara asasnya, harta pusaka merangkumi semua aset yang ditinggalkan oleh si mati, sama ada harta tak alih seperti rumah dan tanah, mahupun harta alih seperti wang tunai, simpanan bank, KWSP, ASNB, takaful dan kenderaan.
Walaupun harta ini jelas dikumpulkan untuk keluarga, undang-undang menetapkan bahawa tiada pemindahan atau penggunaan boleh dilakukan tanpa proses pengurusan yang sah. Peraturan ini bukan bertujuan menyukarkan waris, sebaliknya diwujudkan untuk melindungi hak semua pihak yang berkepentingan. Tanpa proses ini, pembahagian harta boleh menjadi tidak adil, bertindih, atau lebih buruk mampu mencetuskan pertikaian keluarga yang berpanjangan.

Mengapa Ramai Waris Merasa Terkejut?
Di sinilah kejutan sering berlaku. Ramai waris beranggapan bahawa urusan harta pusaka akan menjadi mudah apabila warisnya jelas dan hubungan keluarga berada dalam keadaan baik. Namun realitinya, walaupun semua waris sepakat dan saling mempercayai, prosedur rasmi tetap perlu dipatuhi.
Tanpa perancangan awal, waris perlu berhadapan dengan pelbagai keperluan. Dokumen yang perlu dikumpulkan, borang yang perlu difailkan dan proses yang memerlukan masa dan ketelitian. Lebih mencabar, semua ini berlaku ketika emosi masih belum stabil akibat kehilangan orang tersayang. Dalam keadaan sebegini, tekanan mudah timbul dan salah faham boleh berlaku, walaupun tiada niat untuk berselisih faham antara mereka.

Memahami Jenis-Jenis Harta Pusaka di Malaysia
Apabila waris mula mencari jalan penyelesaian, mereka mendapati bahawa kaedah pengurusan harta pusaka di Malaysia tidak seragam. Ia bergantung kepada dua perkara utama: nilai keseluruhan harta dan sama ada si mati meninggalkan wasiat atau tidak.
Harta pusaka dikategorikan kepada beberapa jenis, dengan proses pengurusan yang berbeza.
Harta Pusaka Kecil
Kes sebegini lazimnya diuruskan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) atau melalui Amanah Raya Berhad. Bagi orang Islam, pembahagian dibuat mengikut hukum faraid, manakala bagi orang bukan Islam, ia tertakluk kepada Akta Pembahagian 1958.
Berbanding kes yang perlu dibawa ke Mahkamah Tinggi, laluan ini biasanya lebih ringkas dan melibatkan kos yang lebih rendah. Satu kelegaan kecil bagi waris yang sudah terbeban dengan emosi.
Pusaka Ringkas
Namun tidak semua kes melibatkan rumah atau tanah. Dalam situasi peninggalan si mati hanya terdiri daripada harta alih seperti simpanan bank, KWSP, ASNB, takaful dan kenderaan, dengan nilai keseluruhan tidak melebihi RM600,000, waris mempunyai satu lagi pilihan yang lebih praktikal.
Melalui Amanah Raya Berhad, waris boleh memohon pentadbiran secara ringkas. Amanah Raya akan bertindak sebagai pentadbir professional, menguruskan dokumentasi, menyelesaikan hutang si mati dan memastikan baki harta diagihkan kepada waris yang berhak. Bagi waris, laluan ini bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga membantu mengurangkan tekanan emosi kerana urusan diuruskan oleh pihak yang berpengalaman.
Pusaka Besar
Waris juga perlu memohon Geran Probet untuk mengesahkan kesahihan dokumen tersebut. Jika tiada wasiat, permohonan Surat Kuasa Mentadbir perlu dibuat. Mahkamah kemudiannya akan melantik pentadbir rasmi yang bertanggungjawab menguruskan harta pusaka, melunaskan hutang dan memastikan pembahagian dibuat mengikut undang-undang. Proses ini memerlukan ketelitian, masa dan kos yang lebih tinggi, sesuatu yang sering tidak dijangka oleh waris.

Cabaran Yang Dihadapi Waris
Walaupun setiap kategori harta mempunyai proses tersendiri, cabaran sebenar yang dihadapi setiap waris simati adalah hampir sama .Bukan kerana undang-undangnya yang terlalu rumit, tetapi keadaan emosi dan kekangan kehidupan seharian menyukarkan mereka untuk menguruskan proses yang terlibat. Mengumpul dokumen, mendapatkan persetujuan semua waris, menghadiri perbicaraan mahkamah dan menyelaraskan tandatangan menjadi tugas yang memenatkan, terutamanya apabila waris tinggal berjauhan atau mempunyai komitmen masing-masing.
Apabila proses ini berlarutan, keletihan emosi mula dirasai. Dalam situasi sedemikian, hubungan kekeluargaan boleh teruji. Perkara kecil menjadi besar, dan urusan pentadbiran yang sepatutnya diuruskan secara profesional bertukar menjadi beban perasaan yang mendalam.

Perancangan Awal: Beban yang Boleh Dikurangkan
Hakikatnya, banyak kesulitan ini boleh dielakkan atau dikurangkan dengan perancangan awal. Menyediakan wasiat, menyusun senarai harta, melantik pentadbir atau wasi yang jelas, serta memastikan penama instrumen kewangan sentiasa dikemas kini untuk memudahkan urusan waris.
Perancangan ini bukan tanda bersedia untuk pergi, tetapi satu bentuk tanggungjawab dan kasih sayang kepada keluarga. Ia memastikan bahawa apabila tiba waktunya, keluarga tidak perlu bergelut dengan kekeliruan di saat mereka sepatutnya diberi ruang untuk berduka dan menyembuhkan perasaan.

Beri Penjelasan, Bukan Kekeliruan
Kesimpulannya, harta pusaka bukan sekadar soal wang atau aset. Ia adalah tentang kejelasan, keadilan dan ketenangan untuk mereka yang ditinggalkan. Pemergian buat selamanya adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, tetapi kekeliruan selepas pemergian itu boleh dicegah.
Merancang hari ini bermaksud meninggalkan waris dengan sesuatu yang amat bernilai yang bukan sekadar harta, tetapi ketenangan untuk meneruskan kehidupan tanpa beban yang tidak perlu.
Nota: Artikel ini disediakan sebagai panduan umum dan bukan nasihat undang-undang secara profesional.



Comments