top of page
Search

Kerjasama Penentu Kejayaan Pelan Kewangan

Oleh Mukhlis Nasri


Berikut ialah kisah seorang klien, Puan F dan bagaimana dirinya bekerjasama dengan perancang kewangannya bagi menyelesaikan masalah hutangnya selepas bercerai dengan bekas suaminya.

Berikut merupakan kisah klien saya, Puan F yang mengharungi liku-liku kehidupan mencabar beliau sebagai seorang wanita yang diceraikan selepas mengetahui bekas suaminya telah berkahwin sekali lagi. Beliau berjumpa saya untuk membantunya menguruskan kewangan peribadi dan memastikan kewangannya berada dalam landasan yang betul.

Latar belakang klien:


Umur: Lewat 40-an

Lokasi: Kelantan

Pendapatan: RM8000 Sebulan

Status: Ibu tunggal dengan 5 orang anak

Kadar hutang: 65% daripada jumlah pendapatan bersih

Perkahwinan dan Hutang


Puan F melayari bahtera perkahwinan yang penuh dengan dugaan kerana bekas suaminya tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Bekas suaminya juga telah menjalankan pelbagai perniagaan tetapi tidak berjaya. Walaupun mereka telah melalui segala susah dan senang bersama-sama, namun beliau tetap memilih perceraian apabila mendapati suaminya telah berpoligami tanpa pengetahuannya.

Penceraian telah memutuskan hubungan suami isteri namun ikatan perjanjian pinjaman dengan bank masih ada sehingga sekarang.


Beliau tidak menyangka bahawa seorang suami yang telah berjanji untuk susah senang bersama sehingga beliau berkorban segala-galanya telah memungkiri janjinya. Jaminan kerjayanya juga memudahkan beliau untuk membuat pinjaman di bank. Oleh sebab itu, Puan F mampu membantu bekas suaminya membuat pinjaman peribadi demi membantu perniagaannya dengan menggunakan namanya sendiri.


Namun begitu, Puan F tidak memperoleh sebarang keuntungan atau manfaat daripada wang yang dipinjam kerana kesemuanya diserahkan kepada bekas suaminya. Perasaan sayang telah membuatkan dirinya terjerumus dalam kesilapan kewangan yang besar. Kini, segala beban hutang dan perbelanjaan anak-anaknya terletak di bahunya manakala bekas suaminya melepaskan tanggungjawabnya dan hanya menumpukan perhatiannya kepada isteri barunya sahaja.

Pertemuan dengan Perancang Kewangan


Kami dipertemukan untuk membolehkan saya sebagai Perancang Kewangan Berlesen dapat membantu beliau keluar daripada masalah kewangannya. Pertemuan pertama tersebut adalah untuk kami saling memahami peranan kedua-dua pihak serta bagaimana saya boleh membantu beliau sepanjang proses tersebut.


Pertemuan ini juga adalah proses pertama untuk memahami kedudukan kewangan Puan F bagi mendengar perkongsian beliau tentang bagaimana dirinya dibebani dengan komitmen hutang daripada perkahwinan lalu.


Sebagai perancang kewangan, peranan saya adalah untuk memahami dan berada dalam situasi klien sebelum memberikan sebarang nasihat dan penyelesaian untuk masalah kewangannya.

Perancangan Kewangan Holistik


Kesan daripada bebanan hutang yang ditinggalkan oleh bekas suaminya menyebabkan beliau tidak mempunyai sebarang simpanan kerana lebih separuh daripada pendapatan bulanannya hanya digunakan untuk membayar hutang kepada pihak bank. Lebihan selepas membayar hutang tersebut hanya cukup untuk perbelanjaan Puan F sekeluarga sahaja.


Masalah beban hutang bukanlah masalah yang boleh dipandang ringan kerana ia memberikan kesan berterusan terhadap perkara lain, dan daripada hutang kecil yang sekiranya tidak diurus dengan baik akan bertambah dan akan cenderung untuk menambah hutang baru. Wang yang berbaki juga tidak mencukupi untuk menyara keluarganya, apatah lagi untuk menyimpan di waktu kecemasan atau persediaan untuk menunaikan ibadat Haji, bagi tujuan pendidikan anak-anaknya di masa akan datang serta persaraannya. Jika perkara tersebut tidak dibaiki dengan lebih awal akan menjadi barah yang mampu mengganggu prestasi di tempat kerja dan seterusnya memberi tekanan emosi dan minda yang boleh membawa kepada tekanan.


Puan F dan saya telah memulakan perjalanan perancangan kewangan ini untuk melihat secara menyeluruh dengan mengenal pasti punca terhadap masalahnya bagi memberikan penyelesaian yang terbaik. Berikut adalah beberapa perancangan holistik yang dibincangkan bersama Puan F:

  1. Analisis Pengurusan Tunai: Proses memahami aliran pendapatan dan perbelanjaan, sama ada perbelanjaan bersifat keperluan atau kehendak. Kami turut meneliti jenis-jenis hutang yang ditanggung sama ada hutang baik atau hutang jahat. Proses ini sangat penting bagi memastikan aliran tunai Puan F positif dan mempunyai simpanan kecemasan.

  2. Analisis Pengurusan Risiko: Proses analisis ini bagi memastikan Puan F dan anak-anaknya dilindungi dengan perlindungan takaful sekiranya berlaku sebarang kecemasan terhadap beliau yang merupakan punca utama pendapatan keluarganya. Dalam proses ini, polisi-polisi sedia ada akan disemak semula bagi memastikan manfaat yang diperolehi berbaloi dengan pembayaran yang dibuat

  3. Analisis Pengagihan Aset: Analisis ini bagi memastikan aset-aset sedia ada Puan F berkerja keras untuk melawan inflasi dan mampu mencapai objektif kewangan Puan F seperti persaraan, pendidikan anak-anak dan lain-lain. Selain itu, kami turut melihat samada aset-aset tersebut sesuai atau tidak dengan profil risiko Puan F.

  4. Analisis berkaitan Perancangan Harta: Dalam proses ini, saya telah menerangkan proses pengagihan harta pusaka berdasarkan undang-undang dan hukum Islam. Ia termasuk perbincangan berkaitan kaedah alternatif yang ada dalam perancangan harta pusaka agar proses pengurusan harta pusaka berjalan dengan lancar.

Kerjasama Tunjang Kejayaan Suatu Perancangan


Dalam perancangan kewangan, peranan klien sangat penting dalam menjayakan sesuatu perancangan. Sekiranya tidak, ia hanya sekadar angan-angan dan perancangan yang diingini tidak dapat dilaksanakan. Kerjasama antara klien dan perancangan kewangan perlu digabungkan bagi mencapai hasil yang diinginkan.


Ketika Pelan Perancangan Kewangan dibentangkan kepada Puan F, terpancar pada wajah beliau senyuman manis kerana beban yang selama ini ditanggung telah mula menghilang dan dapat melihat cahaya di hujung terowong. Tetapi semua ini memerlukan sedikit komitmen masa dan beberapa perkara daripada pihak klien untuk memastikan ia boleh dicapai.


Bagi menyelesaikan beberapa perkara berkaitan penstrukturan hutang, saya meminta Puan F untuk menghubungi pihak bank dan koperasi di mana beliau berhutang bagi mendapatkan beberapa dokumen dan penjelasan. Selang beberapa hari kemudian, beliau menghubungi saya untuk tidak mahu meneruskan implementasi seperti yang dirancang kerana memerlukan komitmen yang tinggi daripada beliau untuk berjumpa dengan pihak bank dan koperasi.

Kesimpulan


Semua sedia maklum bahawa sebagai Perancang Kewangan Berlesen, kami berada dalam posisi sebagai penasihat dalam kewangan dan bukanlah sebagai seorang diktator yang mengarahkan klien untuk melaksanakan sesuatu keputusan. Sudah tentu kejayaan dapat digarap sekiranya sinergi dan kerjasama daripada klien dan Perancang Kewangan berlaku kerana setiap individu mempunyai peranan masing-masing untuk melaksanakan perancangan yang telah dibuat.


Adakah anda setuju bahawa kerjasama daripada klien amat penting untuk memastikan perancangan kewangan mereka berjaya?



35 views0 comments
bottom of page