Search

Lindungi Diri Anda Daripada Skim Pelaburan Tidak Berlesen Dengan Senarai BNM dan SC!

Adakah anda sukar untuk mengenalpasti samada skim pelaburan adalah berlesen atau tidak? Atau adakah syarikat tersebut berlesen dengan pihak berkuasa? Ketahuinya daripada senarai yang dikeluarkan oleh pihak Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Original article by Su Wei Ho in English)

Pada masa ini, terdapat banyak skim pelaburan dan kewangan di internet sehingga anda menghadapi masa yang sukar untuk mengetahui sama ada ia adalah berlesen atau tidak. Terdapat banyak kes di mana individu yang tertipu dengan skim tidak berlesen sehingga mereka kerugian puluhan atau ratusan ribu ringgit, namun masih ada instrumen pelaburan yang berdaftar dan berlesen.


Bagaimana mahu membezakan mereka?


Anda boleh merujuk kepada senarai yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk memastikan syarikat pelaburan tersebut beroperasi secara berlesen atau tidak:

  • Bank Negara Malaysia Senarai Amaran Pengguna Kewangan

  • Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Senarai Peringatan Pelabur

Artikel ini membolehkan anda mengenal pasti tanda-tanda skim pelaburan yang tidak berlesen.

Faktor #1: Dilaporkan oleh orang awam


Antara faktor terbesar yang memberikan kredibiliti terhadap senarai tersebut adalah hasil laporan daripada orang awam seperti anda yang memberikan laporan tentang skim pelaburan yang mencurigakan.


Ia adalah lebih meyakinkan jika senarai tersebut datang daripada orang awam yang membuat aduan tentang syarikat-syarikat yang menawarkan skim pelaburan tidak berdaftar tersebut. Secara tidak langsung akan memberikan kita lebih banyak pengetahuan dan kesedaran sebelum membuat sebarang keputusan.


Senarai Amaran Pengguna Kewangan (FCA) and Senarai Peringatan Pelabur (IAL) mengumpulkan maklumat dari orang awam tentang syarikat dan skim pelaburaan atau kewangan dalam pasaran.


Dengan lambakan skim pelaburan semasa pandemik Covid-19, lebih ramai yang terdedah dengan pelbagai iklan yang disebarkan melalui media sosial dan juga aplikasi mesej seperti WhatsApp.


Peningkatan jumlah ‘guru pelaburan dan kewangan’ yang menjanjikan pulangan lumayan mengambil kesempatan terhadap situasi semasa apabila sebilangan rakyat mengalami masalah kewangan kerana kehilangan kerja dan mahukan pendapatan tambahan dalam masa yang singkat. Jika terpedaya, ia akan memberikan kesan buruk kepada mereka sehingga boleh menyebabkan masalah mental dan kewangan yang lain.


Jika anda mahu menghantar aduan tentang sebarang kegiatan mencurigakan oleh syarikat pelaburan tersebut, anda boleh menghantar emel atau menghubungi Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di:

  • Bank Negara Email: bnmtelelink@bnm.gov.my No telefon: 1-300-88-5465

  • Suruhanjaya Sekuriti Email: aduan@seccom.com.my No. Telefon: +603 6204 8999

Faktor #2: Disiasat oleh pihak berkuasa kerajaan


Senarai FCA dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia manakala Senarai IAL dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. FCA memfokuskan kepada syarikat dan entiti yang tidak berada di bawah peraturan ditetapkan oleh Bank Negara manakala IAL lebih fokus kepada skim pelaburan tidak berlesen, produk dan syarikat.


Apabila BNM dan SC menerima aduan daripada orang awam berkaitan sebarang syarikat dan skim yang jatuh di bawah bidang kuasa mereka, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh untuk menentukan samada ia berbahaya atau tidak.

Mereka juga mempunyai kuasa dan kepakaran untuk menentukan kesahihan syarikat-syarikat berkenaan.


Bank Negara Malaysia mematuhi peraturan yang menjaga servis kewangan, insuran dan aktiviti mata wang dalam pasaran:

  1. Akta Perkhidmatan Kewangan 2013/ Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013

  2. Akta Insurans 1996

  3. Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011

  4. Akta Mata Wang 2020

Manakala Suruhanjaya Sekuriti pula mengikuti akta-akta berkenaan untuk memastikan perjalanan pasaran saham yang baik:

  1. Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007

  2. Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993

  3. Akta Perindustrian Sekuriti 1993

  4. Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993

Mereka tidak sewenang-wenangnya menambah senarai tersebut setelah menerima aduan daripada orang awam bagi mengelakkan penipuan. Apabila siasatan telah dijalankan dan terbukti syarikat dan produk itu adalah berbahaya, ia akan dimasukkan dalam senarai berkenaan beserta maklumat tentangnya.

Faktor #3. Dikemas kini secara konsisten dan berkala


Senarai FCA and senarai IAL bukanlah senarai yang statik dan hanya dikemas kini setahun sekali atau dua tahun sekali. Namun, ia adalah senarai yang dinamik dan sering dikemas kini dengan syarikat yang sudah dibuktikan tidak berlesen dan berbahaya kepada orang awam.


Senarai FCA telah di kemaskini pada 30 Januari 2021, di mana ia telah menambah empat buah syarikat. Sehingga kini, terdapat 400 syarikat yang berdaftar di bawah senarai tersebut sejak tahun 2012.


Senarai IAL pula telah dikemas kini pada 9 Februari 2021.


Pihak Bank Negara dan SC menerima lebih banyak aduan kerana skim pelaburan tidak berlesen tumbuh bak cendawan selepas hujan dalam masa setahun ini.


Kemas kini yang konsisten dan berkala ini mampu membantu orang awam untuk lebih sedar akan syarikat yang menjalankan aktiviti berpotensi menyalahi undang-undang.

Faktor #4. Mudah untuk dicari dan mesra pengguna


Bagi senarai FCA dan senarai IAL, kedua-duanya mudah dicari dan mesra pelanggan untuk sesiapa sahaja yang mahu menyemak kesahihan syarikat yang mencurigakan.

Senarai FCA mempunyai ruangan carian yang dikategorikan mengikut susunan abjad. Jika anda mencari syarikat berdasarkan namanya, anda boleh menyaring carian dengan huruf pertama dalam nama mereka. Jika anda hanya ada sebahagian sahaja namanya, anda juga boleh menggunakan ruangan carian tersebut.


Walau bagaimanapun, senarai IAL tidak mempunyai ruangan carian tetapi anda boleh menekan butang Ctrl-F di papan kekunci computer dan memasukkan nama syarikat yang dicari. Namun, ia masih mempunyai senarai terbaru dan kategori yang dipanggil aset digital – kelas aset digital terbaru di dalam pasaran pada waktu ini.