By Nursyahirah Mohd Ghazali
Ketika di masa mula mendirikan rumah tangga, kita akan lebih kerap memikirkan tentang hal kewangan. Begitu juga apabila mula menimang cahaya mata. Kita akan mengutamakan pendidikan mereka supaya mereka menjadi insan yang celik ilmu. Itulah harapan setiap ibu bapa dan tambahan pula, di zaman digital, lambakan info tentang pengurusan kewangan dan cara mendidik anak dapat diakses dengan mudah. This article was originally published on MyPF.my.
Apa yang memberi saya motivasi untuk mengajar kanak-kanak tentang kewangan? Mengikut bancian yang dijalankan oleh Bank Negara pada tahun 2015, 75% dari rakyat Malaysia mempunyai masalah untuk mendapatkan RM 1,000 apabila berlaku kecemasan. Ya, data tersebut sangatlah membimbangkan!
Bukan itu sahaja. Malaysia juga mempunyai nisbah pinjaman kepada GDP sebanyak 88.5% pada akhir 2016 (jauh melepasi nilai purata iaitu 30%) yang menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai antara kadar pinjaman isi rumah yang tertinggi di Asia Tenggara.
Jadi, persoalannya adalah bagaimana kita hendak menangani isu kewangan negara, mendidik anak muda tentang perangkap kewangan dan secara langsung, melahirkan generasi masa depan yang lebih baik? Semestinya dengan pendidikan awal tetapi malangnya, kita tidak diajar tentang kewangan di sekolah apatah lagi di usia muda. Tetapi, sebagai ibu bapa, kita perlu memastikan bahawa pendedahan awal dapat diberi untuk memupuk kecelikan kewangan dalam diri mereka kelak.
Jadi, di sini saya ingin berkongsi tips kepada golongan ibu bapa untuk mendidik anak-anak tentang wang. Tips ini diperoleh dari buku berjudul “Make Your Kid A Money Genius (Even If You’re Not)” yang ditulis oleh Beth Kobliner, penulis kewangan peribadi terkenal di US. Berikut adalah 5 tips yang diaplikasikan oleh diri saya sendiri dan relevan untuk golongan ibu bapa:
1. Mula lebih awal dari sepatutnya
Walaupun kita sering beranggapan bahawa kanak-kanak masih cuba untuk memahami dunia di sekeliling mereka, mereka sebenarnya lebih cepat belajar berbanding orang dewasa.
Contohnya; apabila di majlis keramaian seperti Hari Raya, bagus untuk kita terangkan apa itu duit raya walaupun kepada kanak-kanak berusia dua tahun. Kelak, mereka akan lebih faham tentang konsep wang dan lama-kelamaan akan lebih mudah untuk mereka menyerap ilmu kewangan.
2. Pastikan apa yang diterangkan sesuai dengan umur
Ini adalah langkah paling penting dalam mendidik anak-anak tentang kewangan. Anda mahu memastikan bahawa mereka berminat untuk mendengar dan tidak bosan apabila bercerita tentang wang. Cuba untuk mengelakkan perbualan bersama anak-anak seperti seorang professor yang berceramah di dewan kuliah (komunikasi satu hala). Sesuaikan perbualan dengan umur, karektor kanak-kanak dan tahap kemampuan ingin belajar.
Contohnya; apabila membawa anak-anak ke kedai makan, mereka akan memerhatikan tingkah laku kita apabila kita pergi ke kaunter bayaran. Untuk satu kelainan, kita boleh meminta tolong mereka untuk ke kaunter dan membuat bayaran bagi pihak kita. Sudah tentu reaksi mereka akan berbeza setelah menghulurkan wang tersebut seolah-olah seperti mereka telah melengkapkan suatu tugas yang penting. Dari situ, kita boleh menganalisa tingkah laku mereka dan apabila keluar membeli-belah, letakkan tugas membayar barangan peribadi kepada mereka sendiri (sudah tentu dengan menggunakan duit yang diberi) dan menyimpan baki yang diperoleh di dalam tabung simpanan.
Walaupun remeh, aktiviti ini dapat membentuk minda mereka untuk mula biasa dengan tabiat menyimpan. Pastikan mereka menyimpan dengan seliaan ibu bapa untuk kanak-kanak bawah 5 tahun kerana terdapat risiko tercekik apabila menangani duit syiling.
3. Jauhkan perbalahan mengenai wang dari penglihatan dan pendengaran anak-anak
Tidak disangkal lagi apabila menyentuh isu kewangan, akan ada situasi apabila pasangan tidak dapat mencapai kata sepakat. Kita semua dibesarkan dengan cara yang berbeza jadi tidak hairanlah apabila perspektif tentang kewangan juga berbeza bagi setiap individu. Setiap orang mempunyai gambaran bahawa perspektif kewangan suami/isteri adalah selari dengan perspektif kewangan mereka jadi inilah yang akan menyebabkan perselisihan faham. Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk mencapai kata sepakat dalam pendidikan kanak-kanak supaya mereka tidak keliru dengan pendapat yang berlainan.
Perselisihan faham antara ibu bapa mungkin dapat mewujudkan situasi tegang di mana pasangan akan meremehkan pendapat atau prinsip lain yang tidak sejajar. Secara tidak langsung, anak-anak jugalah yang akan berhadapan dengan pengalaman berkenaan wang yang negatif.
Saya amat bersetuju dengan pendapat penulis buku tersebut yang mencadangkan konsep “time-out” untuk ibu bapa apabila mula berselisihan faham tentang hal kewangan di depan anak-anak. Kestabilan dalam institusi keluarga dapat mendatangkan impak yang besar atas emosi dan tumbesaran anak-anak. Oleh itu, perselisihan faham dalam hal kewangan perlu diletakkan sejauh mungkin dari anak-anak.
4. Elakkan dari berlumba-lumba untuk menunjuk kekayaan kepada orang lain
Susah untuk kita mengelakkan diri dari membuat perbandingan dengan orang lain, tambahan pula di era budaya obses media yang memburukkan lagi keadaan. Keutamaan setiap orang berbeza antara satu sama lain; ada yang suka bercuti 3 kali setahun, ada yang suka mengumpul harta dan ada yang suka berbelanja. Kita boleh cuba sebaik mungkin untuk melawan nafsu untuk bercakap mengenai pilihan kewangan orang lain lebih-lebih lagi di hadapan anak-anak. Setiap orang mempunyai gaya perbelanjaan dan nilai yang berbeza jadi jika anda bukan penasihat kewangan peribadi seseorang, andaian dan tanggapan anda mungkin salah.
Perbandingan hanya akan mewujudkan sikap tidak bersyukur dalam diri anak-anak. Jika anda hendak menjauhi sikap anak-anak yang berpendapat bahawa kita tidak sekaya (atau lebih kaya) orang lain, percaya akan pilihan kewangan anda dan lawan perasaan diri untuk berbanding-banding dengan orang lain. Jika anda tidak percaya dengan pilihan kewangan anda, dapatkan khidmat penasihat kewangan peribadi yang bertauliah. Mereka akan memberi pendapat berdasarkan angka dan data yang diberi supaya anda dapat mencapat matlamat kewangan anda.
5. Jangan pamerkan tabiat kewangan yang buruk di hadapan anak-anak
Semua orang sedia maklum bahawa kanak-kanak mahir meniru sikap orang yang lebih dewasa. Jadi, cuba yang terbaik untuk memastikan struktur kewangan isi rumah dalam keadaan yang baik dan pupuk tabiat kewangan yang baik dalam diri anak-anak. Ia bermula dengan ibu bapa dan jika anda belum menjadi ibu bapa, ingatlah pepatah Inggeris, “Membesarkan anak memerlukan usaha satu kampung”, apatah lagi untuk mendidik satu generasi. Anda mungkin mempunyai anak atau anak saudara yang mengagumi anda jadi dorongan dari pihak anda untuk memupuk tabiat yang baik amatlah penting.
Anda boleh membelek tips lain di dalam buku “Make Your Kid A Money Genius (Even If You’re Not)”, jika anda berminat. Buat masa sekarang, lima tips di atas bertujuan untuk menguatkan asas sebelum mendidik tentang perihal kewangan dan mengasah kemahiran kewangan dengan lebih lanjut.
Nursyahirah is a Licensed Financial Planner at Wealth Vantage Advisory. She graduated with MEng. in Electronic and Computer Engineering from University of Birmingham. Inspired by a passion in personal finance, she decided to embark on professional certification, CFP (Cert TM) to enable herself to advise clients' financial holistically. Nursyahirah strongly believes that financial education starts from home; hence good money-habit parents play huge role in raising money genius kids (celik wang). She envisions that collective efforts from parents in raising their kids will result in a more financially literate generation helping to transform Malaysia for the better. Interested in a career as a financial planner? Contact us at hi@wealthvantage.com.my
Comments