Teknik pengurusan wang yang bijak mampu melahirkan kanak-kanak yang lebih peka dalam membelanjakan wang belanja mereka. Tetapi bagaimana mahu menerapkan sifat tanggungjawab dan pengurusan wang yang lebih baik untuk mereka?
Sebagai ibu bapa yang bekerja sepenuh masa, mungkin anda merasakan masa agak terhad dengan anak anda. Namun jika anda bijak membahagikan masa dan menyediakan aktiviti yang menarik untuk mereka, tidak mustahil pengurusan wang menjadi subjek yang ditunggu-tunggu oleh mereka.
Topik wang juga tidak seharusnya menjadi topik yang sensitif dan tidak dibincangkan bersama anak-anak tetapi seharusnya disampaikan oleh golongan dewasa dalam keluarga sebagai sesuatu yang normal. Oleh sebab itu, teknik pengajaran yang kreatif perlu dipraktikkan untuk menarik minat mereka. Aktiviti-aktiviti ini difokuskan untuk kanak-kanak berusia antara 5 hingga 12 tahun tetapi boleh digunakan untuk yang lebih muda atau berusia
1. Makan malam dengan pizza
Jika anda tidak sempat memasak dan mahu memesan makanan di luar, piza merupakan pilihan yang baik jika anda mahu memasukkan pembelajaran tentang membuat bajet. Terangkan bahawa satu bulatan piza melambangkan jumlah wang setiap bulan – bajet anda. Dan anda membahagikan bajet tersebut kepada beberapa bahagian untuk menyelesaikan komitmen dan belanja yang diperlukan serta wang bagi setiap ahli keluarga.
Terdapat perbelanjaan yang memerlukan ‘kepingan’ yang lebih besar daripada bajet diperuntukkan. Contohnya, anda perlu membelanjakan lebih untuk membayar pinjaman rumah berbanding belanja untuk makanan. Orang dewasa dan remaja memerlukan belanja yang lebih berbanding kanak-kanak. Perlu diingatkan bahawa wang bukan kekal selamanya dan jika tidak digunakan dengan bijak, ia akan berkurangan dan habis jua seperti kepingan piza.
2. Sertai permainan online
Platform dalam talian terutamanya semasa tempoh Kawalan Pergerakan seperti sekarang amat berguna untuk memberikan ruang kepada anak anda mempunyai sesi interaktif dan menarik dalam belajar tentang wang. Kebiasaannya mereka menggunakan pendekatan permainan online untuk menarik perhatian kanak-kanak dengan visual dan suara yang memberikan panduan tentang wang.
Antara laman web yang menarik untuk dilayari adalah Topmarks yang dibangunkan di United Kingdom. Terdapat pelbagai permainan yang melibatkan duit syiling dan sesuai untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun. Selain itu, Education.com turut menyediakan pilihan dalam kategori matematik wang dalam bentuk permainan online yang percuma. Anda hanya perlu mendaftar dan membuka akaun di dalam laman web tersebut.
3. Berkongsi cerita
Kanak-kanak sukakan cerita dan terdapat beberapa buku yang menyentuh topik berkaitan duit. Perancang kewangan dan juga seorang ibu, Gugu Sidaki telah menulis 3 buah buku tentang seorang kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun, berdasarkan anak perempuannya sendiri yang bertajuk Nala and the Save Piggy Bank, Nala and the Invest Piggy Bank dan Nala and the Share Piggy Bank. Dalam buku itu, Nala belajar tentang wang dan bagaimana menggunakannya untuk membantu ibunya membeli barangan dapur, memperoleh wang daripada membuat kerja rumah dan bagaimana Nala membelanjakannya. Maklumat lanjut tentang buku tersebut boleh diperoleh di sini.
4. Membeli belah bersama
Pergi membeli belah bersama adalah satu peluang untuk anak anda mengetahui ke mana wang yang diperoleh dibelanjakan. Jika mereka mempunyai wang belanja, mereka boleh mendapat pendedahan untuk membelanjakannya bagi membeli barangan yang diinginkan. Beri panduan di mana barangan tersebut dan ajar cara untuk membaca tanda harga. Jika wang mencukupi mereka boleh membelinya, jika tidak mereka perlu menyimpan wang yang lebih atau mencari barangan dengan harga yang lebih murah.
Mampu membayar untuk diri sendiri adalah salah satu tanda awal bebas kewangan. Selain itu, memberikan peluang untuk mereka memilih barangan boleh menjadikan pengalaman berbelanja lebih seronok – dan mungkin mengelakkan sebarang perasaan tidak puas hati atau bosan. Jika di rumah, anda boleh bina ‘kedai’ kecil dan letakkan barangan yang sesuai beserta tanda harga buatan sendiri. Anak-anak boleh pilih dan bayar barangan di ‘kedai’, belajar mengira wang, samada wang palsu atau asli. Selain menjadi pelanggan, mereka juga boleh menjadi penjual yang menjual barangan, menerima bayaran dan memberikan baki.
Kesimpulan
Kanak-kanak secara semulajadinya adalah sentiasa bersikap ingin tahu, tidak mudah berputus asa – namun bukan pengurus wang yang baik. Anda boleh membantu mereka untuk belajar skil menguruskan wang dengan baik sambil mempunyai proses pembelajaran yang menyeronokkan. Tidak mustahil setiap skil dan ilmu pengurusan wang yang didapati pada usia muda mampu melahirkan insan yang lebih menghargai wang pada masa akan datang.
Comments