top of page
Search

5 Cara Ubah Pemikiran Kewangan Anda

Mengubah pemikiran kewangan sedia ada bukanlah semudah seperti yang disangka. Apakah antara langkah yang boleh diambil untuk keluar dari mentaliti kewangan yang lama?

Apabila berbicara tentang pengurusan kewangan peribadi, perkara yang paling utama yang mampu menentukan sama ada pelan yang anda rancang mampu dilaksanakan adalah status pemikiran kewangan anda. Mungkin anda mahu bebas dari hutang, ingin menyimpan duit, melabur, ataupun hendak mencapai nilai simpanan tujuh angka menjelang persaraan. Namun, anda masih tidak mampu mencapai status kewangan yang ideal. Ini adalah kerana anda masih kekal di dalam mentaliti kewangan yang lama.

Ya, maklumat tentang pengurusan kewangan kini adalah semudah carian di laman Google sahaja dan anda akan menemui  beribu artikel atau maklumat tentang kaedah untuk mencapai matlamat kewangan diri.


Tetapi, mencapai matlamat kewangan bukan semata-mata hanya pengetahuan sahaja tetapi ia adalah bagaimana anda menjadikannya satu kenyataan. Tidak hairanlah jika percubaan untuk menyimpan atau membuat pelaburan ada kalanya tidak menjadi atau tidak mampu mendatangkan hasil seperti yang diinginkan.


Mengubah set pemikiran anda merupakan satu usaha yang berterusan dan beberapa kaedah boleh dilakukan untuk merealisasikannya.


1. Tanamkan matlamat kewangan yang jelas.


Laluan untuk mencapai matlamat kewangan perlu bermula dengan kesedaran bahawa setiap keputusan mempunyai kesan dan jika usaha dibuat secara tetap, ia adalah tidak mustahil bagi mencapai matlamat yang diingini. Ia boleh dilakukan sebelum membuat keputusan pelaburan yang besar atau memulakan langkah pertama untuk menyimpan bagi tabung simpanan kecemasan.


Misalnya, jika anda mahu menyimpan untuk membeli rumah pertama, kenal pasti kemampuan anda setiap bulan untuk menyimpan dan berapa lama jangka masa yang diperlukan untuk mengumpulnya. Dengan mengenal pasti matlamat yang diigini, lebih mudah untuk anda merangka langkah bagi mencapainya.

2. Jangan sesal dengan kesalahan kewangan lampau


Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan membuat percaturan yang salah dalam keputusan kewangan.


Memaafkan diri sendiri adalah cara untuk memastikan kita tidak putus ada dan kurang motivasi akibat dihantui oleh perasaan bersalah tersebut. Ia juga mampu memupuk tabiat yang lebih baik terhadap pengurusan kewangan dengan mengenal pasti di mana kesalahan anda dan mengambil pengajaran daripadanya.


Daripada kesalahan, kita boleh belajar untuk tidak mengulanginya dan mengenal pasti apakah langkah-langkah seterusnya yang boleh dibuat untuk mengelakkannya. Di sinilah penasihat kewangan memainkan peranan yang amat penting untuk memandu anda kepada perancangan kewangan peribadi yang lebih baik dan holistik.


3. Rangka dan kekalkan tabiat kewangan yang baik


Apabila sudah mempunyai matlamat, ia adalah masa yang sesuai untuk mencipta tabiat kewangan yang baik dan berterusan. Fahami di mana wang anda pergi dan pastikan anda boleh mengenepikan sebahagian daripadanya untuk simpanan. Mulakan dengan tindakan yang kecil, seperti simpan RM1 sehari di dalam tabung yang sukar untuk dipecahkan. Ia mudah dan tidak membebankan. Apabila anda rasa sudah selesa dan boleh melakukannya dengan konsisten, cuba naikkan jumlah simpanan tersebut dan dengan cara ini, anda mampu menyimpan dengan lebih banyak tanpa tergesa-gesa.

4. Hadapi ketakutan dan ketidakselesaan


Takut dan tidak selesa boleh berlaku apabila anda perlu menghadapi perkara yang tidak disenangi. Contohnya adalah apabila anda melihat semula perancangan kewangan anda.  Ia mampu menzahirkan perasaan tidak yakin dan mampu menghalang anda untuk mencapai matlamat yang diingini.


Apakah yang akan berlaku sekiranya tindakan tertentu diambil? Adakah anda mampu untuk  menanggung impak daripada tindakan anda?


Salah satu cara yang berkesan untuk menghadapi ketakutan adalah mengenal pasti semula apakah sebab atau matlamat yang anda mahu capai dan lihat segala kejayaan samada kecil atau besar. Jika anda boleh lepasi ketakutan tersebut, tidak mustahil untuk mencapai apa yang anda inginkan.


Kenal pasti apakah ketakutan itu dan rangka satu tindakan yang boleh mengatasinya. Jika anda takut dengan komitmen hutang yang banyak, pastikan anda buat jadual untuk membayar hutang dengan lebih tetap dan perbaiki aliran tunai semasa.


5. Hargai pencapaian anda


Sentiasa memastikan bahawa setiap kejayaan dan langkah yang dibuat untuk membaiki tahap kewangan anda adalah perkara yang perlu diraikan. Walaupun ia mungkin kecil tetapi setiap tindakan yang besar bermula dengan langkah yang kecil.

Terapkan dalam diri anda bahawa setiap kejayaan itu adalah penting dan ia boleh menjadi pembakar semangat untuk meneruskan usaha mencapai matlamat kewangan yang dinginkan.


Antara langkah yang baik adalah tulis kejayaan kewangan anda dalam jurnal sebagai rujukan untuk masa depan.


6. Dapatkan nasihat daripada pakar


Ia adalah normal jika anda berasa ragu-ragu dan juga kurang pasti akan keputusan kewangan yang mahu diambil. Anda juga takut akan terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak untuk membuat keputusan pelaburan atau pinjaman yang mungkin akan memberikan kesan yang besar pada masa depan.


Oleh sebab itu, amat penting untuk anda mendapatkan panduan dan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen yang boleh memacu anda ke arah pelan kewangan yang lebih tersusun dan menyeluruh. Melalui proses pengumpulan data ataupun ‘fact finding’, mereka akan mengenal pasti kedudukan kewangan terkini dan boleh merangka pelan yang lebih baik dan mampu memberikan pulangan yang kurang risiko dan lebih bersifat jangka panjang.

Kesimpulan


Mengubah pemikiran dan membuat tindakan baru bukanlah semudah seperti yang disangka terutamanya apabila ia melibatkan perancangan kewangan. Anda mungkin tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang kewangan dan berasa kurang jelas akan tindakan selanjutnya. Anda juga risau bahawa tindakan anda hari ini akan menjejaskan masa depan anda.


Oleh sebab itu, adalah amat penting sekali untuk memastikan maklumat dan ilmu yang anda peroleh tentang pengurusan kewangan adalah daripada sumber yang sahih seperti penasihat kewangan berlesen. Elakkan membuat keputusan kewangan dengan terburu-buru dan banyakkan membuat kajian dan bacaan berkaitan bagi menjadi pengguna yang lebih bijak dan berhemah.


Apakah matlamat anda untuk memastikan set pemikiran semasa pengurusan kewangan? Kongsi dengan kami dalam ruangan komen di bawah.

45 views0 comments
bottom of page