Kesihatan mental dan masalah kewangan sering berkait antara satu sama lain dan ia tidak semestinya disebabkan kos rawatan. Ketahui beberapa faktor kesihatan mental yang mampu mempengaruhi situasi kewangan.
Kesihatan mental sering dibincangkan sejak akhir-akhir ini terutamanya apabila pandemik Covid-19 yang melanda negara telah memaksa sebilangan rakyat untuk mencari alternatif pendapatan lain apabila mereka dibuang kerja dan hutang semakin bertambah kerana penutupan sektor ekonomi. Perkara ini menimbulkan tekanan dan keresahan kerana tidak mampu menyara diri dan keluarga.
Kajian turut menunjukkan bahawa isu kewangan dan masalah mental sering dikaitkan bersama. Ia juga mendapati bahawa individu yang mempunyai kemurungan adalah 3 kali lebih berisiko untuk terlibat dengan hutang. Kesihatan mental yang buruk juga boleh dikaitkan dengan tekanan kewangan. Berikut merupakan beberapa faktor mental yang boleh mempengaruhi kewangan anda:
#1.Hidup dirasakan tidak terkawal
Apabila anda merasakan kehilangkan kawalan untuk perasaan dan fikiran, dan mula merasakan bahawa hidup anda juga tidak terkawal – terutamanya jika ia melibatkan tahap kewangan diri.
Anda juga mungkin hilang harapan terhadap masa depan yang cerah. Siapa yang mahu menyimpan wang untuk kecemasan dan persaraan jika hidup dirasakan tidak terkawal. Anda mungkin merasakan bahawa satu perkara yang boleh dikawal adalah kemampuan untuk berbelanja bagi perkara yang diinginkan.
#2. Mengelak daripada masalah
Anda memerlukan fokus dan motivasi yang baik untuk menguruskan bil dan hutang daripada kad kredit yang sudah tertangguh untuk beberapa bulan. Selain itu, merangka bajet juga boleh mewujudkan keresahan dan sukar untuk menerima hakikat bahawa kewangan anda memerlukan bantuan. Anda akan terdorong untuk mengelakkan masalah-masalah tersebut jika berdepan dengan masalah mental.
#3. Terdesak untuk mendapatkan penyelesaian sementara
Apabila anda tertekan, anda akan melakukan apa sahaja untuk melepaskan diri daripadanya – walaupun ia boleh melukakan diri dalam jangka masa panjang. Ini juga menggalakkan tabiat ‘terapi dengan berbelanja.
Membeli sesuatu yang tidak diperlukan dan di luar kemampuan seperti kasut baru atau kereta baru, hanya boleh memberikan kepuasan sementara sahaja. Tetapi ia juga berpotensi untuk mewujudkan tekanan kewangan dalam jangka masa panjang.
#4. Keyakinan diri menurun
Kebiasaannya, situasi yang teruk menyebabkan keyakinan diri menurun. Dan, ia boleh menyebabkan anda cuba mengurangkannya dengan perkara yang berlebihan. Keyakinan diri yang rendah boleh meningkatkan keinginan untuk berbelanja dengan berlebihan contohnya jam tangan berjenama atau kereta yang harganya di luar kemampuan diri untuk menunjukkan bahawa diri anda berjaya.
#5. Tahap tenaga berkurang
Kekurangan daripada segi mental boleh menyebabkan kualiti tidur yang buruk, rasa letih yang berpanjangan dan tidak boleh fokus untuk menyelesaikan tugas-tugas yang diperlukan.
Kesemua ini menyebabkan anda sukar untuk berfikir bagaimana menyelesaikan hutang – dan menyukarkan untuk mengambil sebarang tindakan yang diperlukan. Dan anda juga sukar untuk merangka masa depan apabila kesihatan mental tidak berada di tahap yang sepatutnya.
#6. Luka lama menghantui diri
Apabila anda berasa sedih, minda anda akan cuba mengingati masa lain yang dengan perasaan yang sama – dan ia mungkin adalah titik buruk dalam hidup. Kebiasaannya, emosi yang terluka tidak mudah sembuh dan akan terbuka semula apabila kesihatan mental menjadi teruk.
Bagi kebanyakkan orang, ia boleh boleh mengubah tabiat kewangan mereka. Misalnya, seorang ayah yang pada masa mudanya tidak memperolehi perkara yang diingini kerana kemiskinan mungkin berbelanja boros untuk anak-anaknya bagi mengelakkan mereka mengalami perkara yang sama. Ataupun untuk individu yang merasakan dirinya tidak cukup baik mungkin akan mengambil pinjaman yang melebihi kemampuannya untuk mendapatkan perhatian yang diingini.
#7. Sukar untuk berfikir dengan baik
Adalah sukar untuk berfikir dengan baik terhadap masa depan kewangan jika kesihatan mental tidak berada pada tahap yang baik. Membuat sebarang keputusan, perancangan dan menguruskan situasi kewangan anda mungkin seperti berperang dengan sisi lain yang tidak mampu anda kalahkan.
Kesimpulan
Namun begitu, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk menguruskan kesihatan mental – yang mampu memberi kesan baik untuk kesihatan kewangan anda. Dapatkan tidur yang cukup, bersenam dan makan makanan berkhasiat, bergaul dengan mereka yang mampu menyokong anda, terlibat dengan perkara yang mampu menggembirakan anda dan memperuntukkan masa untuk menjaga kewangan seperti merangka bajet mampu memberikan kesan yang baik untuk psikologi diri. Jika anda sukar untuk membina kekuatan mental, dapatkan bantuan doktor psikologi. Anda boleh mulakan dengan berbicara dengan doktor untuk memastikan tiada sebarang penyakit fizikal. Setelah itu, bercakap dengan ahli terapi yang boleh membantu anda mengenal pasti strategi yang terbaik untuk kesihatan mental anda.
Apa yang akan anda lakukan jika berhadapan dengan tekanan akibat kewangan?
Comments