Untuk wanita yang tidak yakin bagi melabur, ketahui sebab-sebab mengapa anda perlu mula melabur sekarang. (Artikel asal oleh Helwa Sofni)
Adakah anda tahu bahawa terdapat kajian yang menyatakan bahawa wanita adalah pelabur yang lebih baik daripada lelaki?
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Fidelity Investment pada tahun 2017 mendapati bahawa wanita mampu memperoleh 0.4 peratus faedah pelaburan yang lebih tinggi dari pelabur lelaki. Pada tahun 2018, Warwick Business School Study mendapati bahawa wanita mempunyai prestasi yang lebih baik daripada lelaki dalam melabur sebanyak 1.8%.
Dan terdapat lebih banyak kajian dengan hasil yang lebih kurang sama. Tetapi, jumlah pelabur wanita masih kurang berbanding lelaki. Di Malaysia, wanita hanyalah 30% daripada keseluruhan jumlah pelabur di negara ini.
Berikut merupakan 5 sebab kenapa wanita perlu mula melabur.
#1. Bersara dengan bergaya
Wanita dikatakan boleh hidup lebih lama daripada lelaki. Ia boleh menjadi berita baik atau buruk bergantung kepada bagaimana anda bersedia secara kewangan untuk menghadapinya.
Antara perkara yang penting di dalam hidup wanita adalah untuk menikmati setiap saat indah dengan gembira. Ia mungkin bermaksud mempunyai rumah yang selesa bersama keluarga. Ia mungkin bermakna anda mempunyai akses dan pilihan bagi pendidikan, karier, kesihatan dan sebagainya. Apa sahaja yang anda mahukan untuk persaraan, ia memerlukan wang yang mencukupi.
Tetapi, isu terbesar dalam mencapai persaraan yang diinginkan adalah kos perubatan terutamanya jika ia melibatkan penyakit kronik yang datang secara tiba-tiba. Untuk itu, penting untuk anda memastikan tabung persaraan adalah mencukupi bagi menghadapi perkara yang tidak dijangka. Wanita juga perlu membuat keputusan samada mahu bekerja dengan kuat sehingga persaraan ataupun memastikan duit anda bekerja untuk anda, walaupun ketika tidur.
Pilihan adalah di tangan anda!
#2. Mencapai kepentingan dalam hidup
Sebagai wanita, terdapat beberapa perkara yang bermain di dalam minda. Kita juga akan mengambil kira insan di sekeliling, terutamanya yang kita sayangi.
Bagi golongan ibu, salah satu kepentingan di dalam hidup adalah untuk memastikan anak-anak mempunyai kehidupan yang baik walaupun jika anda sudah tiada. Kita mahukan pendidikan yang terbaik untuk membina kehidupan mereka. Dan pendidikan yang terbaik mungkin memerlukan kos yang lebih tinggi.
Oleh sebab itu, lebih ramai wanita yang mahukan pegangan penuh terhadap kewangan mereka untuk memberikan yang terbaik bagi anak-anak. Bagi mencapainya, ia memerlukan perspektif jangka masa panjang bagi membolehkan jumlah yang sedikit berkembang menjadi lebih banyak.
Tidak kira apapun kepentingan anda, resepi untuk berjaya memerlukan pelan tindakan bersama matlamat yang jelas. Sebagai wanita, kita mempunyai keinginan untuk membuat keputusan berdasarkan emosi. Namun, apabila ia berkenaan pelan tindakan yang sesuai, kita perlu mengambil kira data yang berkaitan.
Bersediakah anda untuk mengambil tindakan kewangan atau hanya membiarkan masa sahaja menentukannya?
#3. Elakkan rugi setiap hari dan mula melabur!
Mari kita berbicara tentang simpanan dan pelaburan. Anda mungkin tahu di dalam pelaburan, ada peluang untuk mendapat keuntungan dan juga kerugian. Adakah simpanan kedengaran lebih baik daripada pelaburan? Lagipun, ia adalah kurang berisiko bukan?
Sebenarnya, inflasi akan mengurangkan kuasa pembelian anda. Contohnya, wang belanja anda sebanyak RM3,000 pada masa ini adalah sama dengan RM6,200 sebulan pada 15 tahun lalu dengan kadar inflasi sebanyak 5%. Ini bermakna, jika anda hanya menyimpan, anda boleh kehilangan wang disebabkan inflasi.
Adakah kita sebagai wanita boleh menghadapi inflasi dengan hanya wang daripada gaji dan menyimpan sahaja? Adakah anda boleh memastikan wang gaji anda akan bertambah dua kali ganda setiap 15 tahun untuk menampung gaya hidup? Apa yang akan berlaku jika keperluan bulanan anda juga bertambah disebabkan perbelanjaan yang tidak dijangka pada masa depan?
Dalam satu tinjauan yang dibuat oleh UOB Malaysia pada 2017 mendapati bahawa penggunaan kad kredit dalam kalangan wanita di Malaysia bertambah sebanyak 129% dalam masa 5 tahun dari 2011 hingga 2016, yang mana lebih tinggi daripada lelaki pada 71%.
Dalam erti lain, kedua-dua simpanan dan pelaburan adalah penting dan melengkapi satu sama lain untuk membantu kewangan anda.
Bagaimana anda mahu membezakan pelaburan dan berjudi? Jawapannya adalah pendidikan. Ajar diri anda untuk memahami pilihan yang ada, fungsinya dan asasnya. Berjudi bermakna anda membuat keputusan secara tergesa-gesa. Melabur bermakna anda menggunakan akal dan fikiran untuk membuat pilihan yang terbaik berdasarkan ilmu yang diperoleh.
#4. Kuasa penggandaan
Jika anda boleh memahami kesan inflasi terhadap nilai wang, anda akan lebih memahami impak penggandaan apabila anda melabur.
Contohnya – anda melabur secara konsisten sebanyak RM3,000 setahun (RM250 sebulan) selama 15 tahun. Dengan pulangan tahunan sebanyak 3%, ia akan berganda kepada kira-kira RM65,000 dbandingkan dengan simpanan semata-mata sebanyak RM45,000. Tambahan RM20,000 yang anda peroleh daripada pelaburan itu adalah kesan penggandaan.
Fakta penting yang lain – jika anda terus melabur dengan jumlah ini selama 30 tahun sehingga bersara, berapa banyak anda boleh peroleh? Sebanyak RM200,000 berbanding hanya RM90,000 sahaja!
#5. Melabur dengan yakin, hidup dengan penuh yakin
Hidup akan dipenuhi dengan kejutan, samada baik atau buruk. Walaupun terdapat beberapa perkara yang berada di luar kawalan, kita haruslah fokus terhadap perkara yang berada dalam kawalan. Oleh sebab itu, jumlah masa yang anda sanggup habiskan untuk meningkatkan skil melabur mampu memberi manfaat pada masa akan datang.
Untuk mula melabur adalah tidak sesukar yang disangka jika anda sudah memahami konsep asalnya. Apabila anda mempunyai pemahaman yang lebih baik, keyakinan anda akan lebih meningkat, terutamanya apabila wang anda semakin bertambah.
Kesimpulan
Perlu ada satu gerakan yang besar untuk mengubah mentaliti dan pemikiran dalam kalangan wanita di Malaysia tentang kepentingan celik kewangan dan pelaburan. Dengan status sosio-ekonomi wanita yang semakin baik, kita perlu mengembangkan pandangan selain keluarga, gaya dan karier serta mengambil kira keadaan kewangan diri.
Menambahkan wang melalui pelaburan boleh menjadi sesuatu yang sangat berbaloi. Jika anda risau tentang pendedahan terhadap risiko, ketepikan jumlah yang kecil dahulu namun konsisten. Terdapat banyak pilihan pelaburan yang rendah risiko dengan pulangan yang baik. Ia mampu memberikan gaya hidup yang lebih baik dan menyediakan anda untuk menghadapi sebarang perkara yang tidak dijangka pada masa depan!
Sebagai wanita, apakah yang menggalakkan anda untuk mula melabur?
Comments