top of page
Search

5 Tip Kewangan Peribadi Untuk Pemilik Perniagaan

Di dalam tahun-tahun pertama memulakan perniagaan, pemilik perniagaan terdorong untuk mengabaikan pengurusan kewangan peribadi mereka. Ketahui langkah-langkah yang boleh diambil untuk menguruskan kewangan kepada landasan yang lebih baik

Bukan mudah untuk menjadi pemilik perniagaan, terutama yang baru sahaja memulakan perniagaan dalam situasi pandemik seperti sekarang. Pemilik perniagaan perlu menghadapi risiko kekurangan permintaan, kesukaran untuk membayar gaji pekerja dan jumlah keuntungan yang kurang berbanding sebelum pandemik. Kesemua risiko ini ternyata menjadi cabaran untuk mereka bagi memastikan perniagaan terus kukuh dan mampu menghadapi segala cabaran yang dibawa ketika krisis pandemik sekarang ini.


Namun, sejak bermulanya sesebuah perniagaan, pemiliknya cenderung untuk mengabaikan kewangan peribadinya sendiri. Mereka akan menumpukan perhatian terhadap perniagaan sehingga mengabaikan tahap kewangan peribadi dengan melaburkan modal yang terlalu banyak dalam perniagaannya.


Tidak dinafikan, ada ahli perniagaan yang bijak mengatur haluan perniagaanya tetapi tidak sempat untuk menguruskan kewangan peribadi kerana kekurangan masa dan kekangan dari sudut pengetahuan dan kepakaran pengurusan kewangan peribadi.

Antara kesalahan yang sendiri dilakukan oleh ahli perniagaan kecil adalah :

  1. Berbelanja terlalu banyak

  2. Tidak menyimpan untuk persaraan

  3. Membuat pelaburan yang berisiko tinggi

Jika anda adalah individu yang melakukan perkara di atas, sudah sampai masanya untuk menjadi lebih bijak dalam menguruskan kewangan peribadi anda, lebih-lebih lagi di dalam situasi pandemik kini apabila banyak perniagaan yang mengalami kerugian yang tinggi disebabkan kekurangan aktiviti ekonomi.


Berikut merupakan 5 tip untuk menguruskan kewangan peribadi anda dengan lebih bijak. Anda akan mendapati bahawa jika anda mampu menguruskan kewangan anda dengan baik, anda mampu berjaya dalam perniagaan anda.


#1. Mempunyai simpanan kecemasan


Strategi yang sering dicanangkan oleh penasihat kewangan adalah mempunyai tiga hingga enam bulan simpanan kecemasan (setelah ditolak cukai). Ia amat penting kerana jika berlaku perkara yang tidak diduga terhadap perniagaan ataupun diri anda sendiri, simpanan tersebut boleh menjadi penyelamat sementara anda membina semula aliran kewangan anda.


Simpanan ini sebaik-baiknya disimpan di dalam akaun bank berlainan dan bukan dalam bentuk pelaburan kerana anda memerlukannya dengan segera dalam bentuk wang tunai. Ia juga akan memberikan kelapangan minda dan anda lebih berani untuk membuat sesuatu keputusan bagi perniagaan.

#2. Pengurusan skor kredit yang baik


Skor kredit adalah petanda perniagaan anda mampu bertahan dengan baik, dan untuk ini, skor kredit peribadi anda juga perlu stabil. Bagaimana?  Antaranya adalah membayar bil utiliti pada masanya dan jika wang anda agak kurang pada bulan tersebut, buat pembayaran minimun untuk hutang kad kredit. Ia lebih baik dari lewat bayar hutang.


Anda juga perlu mengambil kira credit utilization ratio – peratusan had kredit anda yang berbaki setiap bulan yang anda pinjam secara bulanan. Jika anda mampu mengekalkan nisbah kurang dari 30%, ia mampu membantu anda untuk mempunyai skor kredit yang lebih baik dan permohonan pinjaman peribadi yang lebih mudah untuk diluluskan.


Apabila anda mempunyai skor kredit peribadi yang baik, ia akan membantu perniagaan anda untuk berkembang terutamanya jika ia masih berada dalam peringkat untuk berkembang dengan lebih meluas. Disiplin dalam membayar hutang pada masanya mampu membantu anda untuk membina asas yang lebih baik untuk kewangan peribadi. Anda juga akan mempunyai kesedaran untuk melangsaikan segala komitmen tepat pada masanya.

#3. Menyimpan untuk hari tua


Pemilik perniagaan kecil-kecilan terdorong untuk melaburkan sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh kepada perniagaan, tetapi terdapat pelbagai kaedah atau pilihan yang boleh dilakukan oleh pemilik perniagaan bagi memastikan mereka mempunyai simpanan untuk hari persaraan.  Jika bekerja sendiri, anda boleh mencarum dengan menggunakan Skim Caruman Pilihan Sendiri oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Anda hanya perlu mengisi borang Bayaran Caruman Pilihan Sendiri – KWSP 6A(1) . Setelah diluluskan, pembayaran boleh dibuat melalui perbankan internet, tunai, draf bank atau cek. Maksimun untuk jumlah caruman adalah sebanyak RM60,000 setahun.

Selain melaburkan semula keuntungan yang diperoleh kepada perniagaan anda, anda boleh mempelbagaikan simpanan dengan pelaburan dalam bentuk bursa saham, bon, Dana Dagangan Saham atau Exchange Traded-Fund (ETF) dan pasaran wang dana bersama (money market mutual funds)

#4. Membuat pelaburan berdasarkan toleransi risiko anda


Apabila anda menyimpan untuk persaraan, pastikan anda melabur dalam portfolio aset yang pelbagai, bersesuaian dengan tempoh masa dan juga toleransi risiko. Jika anda masih muda dan mempunyai masa yang panjang sebelum mencecah persaraan, anda boleh mula melabur di dalam pasaran saham.


Misalnya, bagi tujuan peruntukan aset (asset allocation), anda boleh menggunakan peraturan menolak umur anda daripada 100 untuk mencari peruntukan saham anggaran anda.  Jadi jika anda berusia 40 tahun, peraturan ini menunjukkan bahawa anda harus menyimpan kira-kira 60% daripada aset persaraan anda dalam saham dan selebihnya dalam bentuk bon atau tunai.


Namun, ia juga bergantung kepada matlamat pelaburan anda. Anda mungkin mahu melabur dalam  peratusan yang besar untuk portolio di dalam saham bagi memperoleh pulangan jangka panjang yang lebih baik semasa bersara. Pelaburan mungkin akan lebih berisiko tetapi ia mampu memberikan pulangan pelaburan yang tinggi.

5. Dapatkan nasihat pakar


Rujuk penasihat kewangan berlesen untuk mendapatkan panduan dan pandangan yang lebih khusus berdasarkan situasi semasa anda. Mereka yang mempunyai kelayakan dan lesen penasihat kewangan mampu membantu anda untuk merangka pelan persaraan yang lebih tepat berdasarkan matlamat dan juga keadaan kewangan diri.

Kesimpulan


Anda mampu mengubah keadaan kewangan peribadi kepada yang lebih baik, dengan mempunyai simpanan kecemasan yang kukuh, skor kredit yang sempurna dan kepelbagaian portfolio untuk simpanan persaraan. Apabila kedudukan kewangan peribadi anda lebih baik, ia akan memberikan kelapangan dada untuk menguruskan perniagaan tanpa perlu memikirkan masalah kewangan peribadi. Bagi pemilik perniagaan, mempunyai perancangan yang baik untuk pengurusan kewangan adalah sangat berharga.


Apakah lagi antara tip pengurusan kewangan yang berkesan untuk pemilik perniagaan kecil-kecilan?

65 views0 comments

Commentaires


bottom of page