Search

5 Tip Menguruskan Hutang Pinjaman Pendidikan dengan Bijak

Sebagai pelajar, anda tidak boleh terlepas daripada hutang pinjaman pendidikan jika tidak memperoleh biasiswa atau bantuan dari keluarga. Ketahui beberapa langkah yang boleh anda lakukan untuk menguruskan hutang pinjaman pendidikan dengan bijak.

Apabila anda menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di kolej atau universiti, sudah tentu anda teruja untuk memulakan kehidupan baru sebagai pelajar. Adalah perkara yang normal untuk memohon pinjaman pendidikan bagi membiayai yuran pengajian sepanjang 3 hingga 4 tahun belajar di pusat pengajian tinggi.


Namun begitu, kebanyakan daripada bekas pelajar mula culas untuk membayar hutang pinjaman pendidikan mereka setelah menamatkan pengajian. Menurut Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pada tahun 2019 mereka perlu menanggung hutang berjumlah RM40 bilion akibat sebahagian daripada peminjam culas dan melengah-lengahkan untuk membayar hutang pengajian mereka.


Adalah penting untuk anda membuat kajian menyeluruh sebelum menerima tawaran pinjaman pendidikan bagi memastikan anda boleh membuat keputusan yang baik dan mampu menyelesaikan hutang tersebut setelah mula bekerja nanti.


Berikut merupakan beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk menguruskan hutang pinjaman pendidikan.

#1. Bertanya dan membuat kajian


Sebelum anda membuat sebarang keputusan untuk mengambil pinjaman pendidikan, pastikan anda sudah membuat kajian yang cukup. Jangan segan untuk menghubungi pegawai PTPTN atau pinjaman pendidikan lain bagi mendapatkan jawapan yang tepat.

Amat penting juga untuk memastikan bahawa anda tahu tentang peraturan dan keperluan bagi memohon pinjaman pendidikan. Bagi sesetengah pinjaman pendidikan swasta, tabung pendidikan mereka mungkin terhad dan mempunyai syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi.


#2 . Fahami apa yang anda ambil


Untuk memastikan anda memahami terma dan syarat-syarat pinjaman, tanya pegawai pinjaman soalan-soalan berikut:

  • Berapakah jumlah sebenar pinjaman yang saya layak peroleh?

  • Berapa bayaran bulanan yang perlu dibayar?

  • Kadar faedah boleh berubah atau tetap?

  • Adakah saya boleh mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah?

  • Ada sebarang bayaran yang perlu saya lakukan sebelum boleh mengambil pinjaman ini?


#3. Rangka bajet anda


Anda boleh membuat dua senarai bagi melengkapkan bajet anda. Senarai pertama ialah menyenaraikan kesemua sumber kewangan anda dan senarai kedua perlu meliputi kesemua perbelanjaan.


Sumber pendapatan atau kewangan mungkin meliputi pekerjaan, geran belajar, biasiswa, tabung pengajian dan juga sumbangan daripada keluarga.

Kos pembelajaran pula meliputi buku, yuran, peralatan belajar, rumah, makanan dan pengangkutan.


Antara langkah yang perlu anda lakukan adalah:

  • Mengira semula jumlah pendapatan dan jumlah perbelanjaan

  • Bandingkan jumlah pendapatan dengan jumlah perbelanjaan. Jika jumlah pendapatan dan simpanan anda adalah kurang daripada perbelanjaan di kolej, anda perlu melihat semula senarai perbelanjaan dan mengenal pasti cara untuk mengurangkan belanja yang tidak perlu.

#4. Teliti semula pinjaman anda


Amat penting untuk anda meneliti semula pinjaman yang diterima supaya lebih memahami kaedah pembayaran untuk setiap bulan dan jumlah faedah yang terkumpul untuk setiap pembayaran yang lewat.


Jangan tunggu sehingga graduasi atau berhenti dari pengajian kerana ia mungkin lebih sukar dan jika anda sudah bekerja, masa dan tumpuan juga akan lebih terhad.

Jika anda menunggu terlalau lama, jumlah faedah yang terkumpul akan menjadi terlalu banyak dan anda mungkin menghadapi kesukaran untuk menjelaskannya.

#5. Bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan


Sebagai pelajar, anda mempunyai jadual yang lebih fleksibel berbanding belajar di sekolah menengah. Disebabkan ini, pelajar juga lebih terdorong untuk bekerja secara sambilan bagi menampung belanja pengajian. Terdapat pelbagai pilihan pekerjaan yang boleh dilakukan seperti juruwang, pelayan restoran atau bekerja di kedai di universiti.

#6. Buat bayaran lebih awal


Anda boleh memulakan pelan pembayaran lebih awal semasa berada di universiti. Ia akan memudahkan rancangan masa depan untuk membuat sebarang pembelian atau memohon pinjaman lain kerana ia akan mempunyai kesan terhadap skor kredit anda.

Jika anda tidak mampu lagi untuk memulakan bayaran semasa tempoh pengajian, anda boleh memulakannya setelah berjaya mendapat pekerjaan pertama. Buat pelan pembayaran yang lebih teliti dan jika anda bayar lebih awal, faedah juga adalah lebih rendah berbanding anda mula membayar dalam tempoh masa yang lewat.

Kesimpulan


Sebagai pelajar, tidak mudah untuk menumpukan pelajaran dan dalam masa yang sama cuba untuk mencari pendapatan tambahan. Namun, kunci kepada pengurusan kewangan yang baik adalah sentiasa membuat catatan setiap perbelanjaan dan merangka bajet yang realistik supaya anda tidak boros semasa memperoleh sebarang bantuan kewangan samada daripada pinjaman pendidikan atau melalui pekerjaan sambilan. Jika anda mula lebih awal untuk merancang kewangan, ia akan menjadi lebih mudah dan tersusun semasa memasuki alam pekerjaan.


Apakah langkah yang anda buat untuk menguruskan hutang pinjaman pendidikan?