Menyimpan untuk ibu atau bapa tunggal mungkin kedengaran mustahil. Dengan hanya mempunyai satu sumber pendapatan dan perlu menyara anak-anak, pengurusan kewangan tidak mustahil jika dilakukan dengan konsisten dan bijak.
Menjadi ibu atau bapa tunggal bukanlah perkara yang mudah. Keluarga anda bergantung sepenuhnya kepada anda untuk menyara kehidupan dan kadangkala ia akan menyebabkan satu bebanan apabila hanya terdapat satu punca pendapatan bagi seluruh keluarga.
Menurut kajian Program Pembasmian Kemiskinan Dalam Kalangan Ibu Tunggal: Analisis Penyertaan Dan Keberkesanan yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2012 mendapati bahawa sebanyak  21.8% ibu tunggal yang ditemubual tidak mempunyai sebarang pekerjaan, 4.4% daripadanya telah bersara dan 36% pula bekerja sendiri.
Usia yang meningkat, kesihatan yang tidak mengizinkan, ada pencen suami, anak tidak benar bekerja, tidak ada pekerjaan yang sesuai adalah antara alasan yang diberi oleh mereka yang tidak bekerja. Di samping itu terdapat juga ibu tunggal (13.4%) yang melakukan pekerjaan sampingan untuk menambah pendapatan.
Sebagai ibu atau bapa tunggal, amat penting untuk anda mengenal pasti keperluan keluarga dan strategi yang berkesan perlu dilakukan bagi memastikan bukan hanya anda mampu bertahan pada masa kini namun untuk masa akan datang, terutamanya jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti dibuang kerja atau masalah kesihatan ahli keluarga yang memerlukan wang dalam kadar segera.
#1. Rangka belanjawan anda
Jika anda mahu konsisten untuk menyimpan sebahagian daripada pendapatan anda, ia agak sukar untuk dilakukan tanpa belanjawan bulanan yang tetap. Belanjawan mampu memberikan maklumat yang diperlukan untuk mengenalpasti pendapatan dan perbelanjaan setiap bulan. Jika perbelanjaan adalah sama atau melebihi pendapatan, lebih sukar untuk anda menyimpan.
Tetapkan matlamat untuk memastikan pendapatan melebihi perbelanjaan bulanan. Ia melibatkan dua strategi iaitu mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan.
#2. Mengurangkan perbelanjaan
Kebanyakan ibu atau bapa tunggal mempunyai kemampuan untuk tidak berbelanja di luar kemampuan, tetapi ada juga yang menghadapi kesukaran untuk mengawal perbelanjaannya, kemungkinan besar disebabkan oleh tanggungan yang tinggi untuk anak-anak. Namun, anda boleh mengurangkan perkara yang tidak perlu seperti membeli kopi yang terlalu mahal, atau melanggan pelan televisyen berbayar yang mahal sedangkan anda boleh menonton rancangan yang sama di internet. Lihat semula pelan langganan yang anda ada, dan jika ia tidak digunakan dengan kerap serta tidak memberikan sebarang manfaat, ia boleh dibatalkan dan wang lebihan itu boleh digunakan untuk simpanan anda.
#3. Cari sumber pendapatan tambahan
Bagi membolehkan anda menyimpan untuk masa depan, amat digalakkan untuk mempunyai sumber pendapatan lain selain hanya melalui pendapatan utama. Terdapat beberapa pilihan yang boleh digunakan antaranya jika anda mempunyai pengetahuan tambahan atau sijil tentang bidang tertentu, anda boleh mengajar samada secara berdepan atau dalam talian. Antara platform yang menyediakan peluang untuk menjadi pengajar atau tutor adalah teachnlearn, iaitu medium pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian. Anda boleh mendaftar untuk menjadi tutor bagi subjek-subjek untuk peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan A-Level.
Jika anda minat menulis, ini adalah peluang untuk mengembangkan minat dengan mengambil kerja sampingan untuk menulis terutamanya jika ia melibatkan penulisan untuk pemasaran atau pengiklanan. Anda perlu minat dan kreativiti yang luas untuk bekerja sebagai penulis. Antara platform yang menyediakan peluang untuk kerja sampingan (freelance) adalah Fiverr yang membolehkan anda bekerja dari rumah tanpa perlu hadir ke pejabat.
Sumber pendapatan tambahan mampu memberikan lebih ruang dan peluang untuk memaksimakan simpanan bulanan dan juga boleh membantu untuk membayar sebarang bil utiliti atau keperluan kecemasan yang memerlukan wang dengan kadar segera tanpa menganggu simpanan sedia ada.
#4. Tetapkan matlamat simpanan bulanan
Belanjawan adalah matlamat bulanan yang perlu ditetapkan. Untuk berjaya dalam pengurusan kewangan peribadi, anda perlu mempunyai matlamat jangka masa panjang. Di manakah kedudukan kewangan anda pada setahun atau lima tahun lagi? Apakah yang anda ingin berikan kepada anak-anak di masa depan? Soalan-soalan ini amat penting untuk difikirkan semasa merangka matlamat jangka panjang. Matlamat-matlamat yang dirangka pula memerlukan wang untuk direalisasikan. Jumlahkan kesemua wang tersebut dan jika anda punya jumlah yang betul, ia akan menjadi lebih mudah untuk mencapai matlamat yang diingini.
Matlamat pertama yang perlu dibuat adalah menetapkan tabung simpanan kecemasan. Amat penting untuk anda mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan tabung kecemasan tetapi agak sukar jika anda baru mula untuk menyimpan. Usah risau, ia normal untuk berasa sukar pada mulanya, namun jika berterusan dan konsisten, tidak mustahil untuk mencapai matlamat enam bulan tersebut atau mungkin lebih.
#5. Manfaatkan bantuan daripada kerajaan
Kerajaan telah menyediakan beberapa bentuk bantuan melalui badan-badan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang boleh memberikan bantuan dan peluang untuk menyara keluarga terutamanya jika mempunyai sumber pendapatan rendah iaitu kurang daripada RM2,000 sebulan.
Antara bantuan yang boleh didapati terutamanya untuk ibu tunggal adalah bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) untuk membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian melalui bantuan kewangan untuk membeli keperluan asas Kasih Ibu Smart Selangor (KISS)
Selain itu, anda juga boleh mendapatkan Bantuan Sara Hidup yang berbentuk one-off jika mempunyai jumlah pendapatan bulanan kurang daripada RM4,000.
Anda juga boleh memohon skim bantuan kewangan Kanak-Kanak oleh JKM kepada golongan ibu tunggal yang layak.
Kesimpulan
Sebagai ibu atau bapa tunggal, ia mungkin kedengaran mustahil untuk menyimpan bagi masa depan, terutamanya apabila tanggungan anda melebihi pendapatan bulanan. Tetapi, anda mampu mencapainya jika anda proaktif untuk menyimpan. Pastikan simpanan termasuk di dalam matlamat belanjawan dan menyimpan secara konsisten setiap bulan. Tidak mustahil jika kesemua tip ini diamalkan, anda mampu mencapai matlamat simpanan
Sebagai ibu atau bapa tunggal, apakah yang anda lakukan untuk memastikan bahawa simpanan boleh dibuat dengan konsisten pada setiap bulan? Kongsi dengan kami dalam ruangan komen di bawah.
Comments