Search
  • Nurul Khairiah Mohamed Yusof

6 Langkah Merangka Pelan Kewangan Keluarga

Merangka pelan kewangan keluarga memerlukan penelitian dan fokus yang baik bagi memastikan kamu mencapai matlamat kewangan yang diingini bagi  keluarga  anda.

Pelan kewangan bagi keluarga anda mampu memberikan panduan yang sebaiknya untuk memastikan perjalanan kewangan yang lebih baik. Ia juga membolehkan anda mengenal pasti apakah matlamat kewangan untuk keluarga dan langkah-langkah terbaik untuk mencapainya.


Samada anda masih membayar hutang, mahu mendapatkan kebebasan kewangan atau menyimpan untuk melengkapkan portfolio, pelan kewangan keluarga akan membimbing dan memberikan panduan yang sebaiknya bagi memastikan keputusan kewangan boleh dibuat sepanjang tahun.


Tetapi proses untuk melakukannya memerlukan penelitian dan perancangan yang rapi. Berikut merupakan 6 langkah yang boleh dilakukan untuk merangka pelan kewangan keluarga.


1. Kaji semula jumlah pendapatan


Langkah pertama untuk membina pelan kewangan yang kukuh adalah membuat pengiraan semula jumlah pendapatan yang kamu terima. Ia mungkin agak mencabar terutamanya apabila anda bekerja sendiri atau mempunyai perniagaan sendiri, tetapi anda boleh melakukan anggaran berdasarkan tahun sebelumnya.


Mengetahui jumlah pendapatan anda mampu memberikan gambaran awal tentang had atau limitasi di dalam pelan kewangan  terutamanya apabila anda mempunyai tanggungan di dalam keluarga.


2. Semak semula hutang dan pelan untuk membayarnya


Pengurusan hutang amat penting terutamanya apabila anda mahu membina semula pelan kewangan keluarga. Kenal pasti jumlah hutang yang sedia ada dan bagaimana anda mahu menyelesaikannya. Anda seharusnya mempunyai rancangan yang jelas untuk menyelesaikan hutang bulanan dan tahu hutang yang mana adalah lebih penting dan perlu didahulukan.


3. Senaraikan perbelanjaan selama setahun


Setelah meneliti hutang dan rancangan untuk membayarnya, teliti semula perbelanjaan bulanan kamu. Oleh sebab itu, amat penting untuk menyimpan resit sebagai bukti perbelanjaan dan juga mencatat setiap perbelanjaan samada menggunakan jurnal atau aplikasi kewangan di telefon bimbit anda seperti Spendee (App Store , Google Play ) dan Monefy (App StoreGoogle Play).


Susun perbelanjaan anda mengikut kategori tertentu contohnya, makanan, kenderaan dan pakaian. Lihat semula setiap perbelanjaan dan kenal pasti samada anda boleh membuat sebarang perubahan yang mampu mengoptimumkan rancangan kewangan sedia ada.


Kenal pasti jika terdapat sebarang perbelanjaan yang besar atau luar biasa yang akan dilakukan pada masa akan datang. Ia mungkin daripada kos membaiki kereta yang mengalami kerosakan yang serius, membaiki rumah atau sebarang perbelanjaan lain yang besar.

4. Senaraikan matlamat kewangan jangka pendek dan jangka panjang


Mulakan dengan matlamat kewangan jangka panjang anda yang mungkin mengambil masa selama 5 tahun atau lebih untuk dicapai. Adakah anda mahu menyimpan untuk membeli hartanah, tabung melancong atau meluaskan portfolio pelaburan? Atau mahu membina sebuah perniagaan sendiri dan ingin fleksibiliti semasa bekerja?


Kenalpasti matlamat persaraan dan kebebasan kewangan yang mahu dicapai dan berapa jumlah kekayaan yang diperlukan untuk memastikan kamu mampu menikmati persaraan tanpa sebarang isu. Lihat semula akaun pelaburan dan pastikan pelan simpanan anda masih berada dalam landasan yang sepatutnya.


Apabila matlamat kewangan sudah dikenal pasti untuk diri dan keluarga, anda perlu spesifik dan pastikan ia jelas dan mudah difahami. Dengan pelan kewangan yang jelas, ia lebih mudah untuk melihat semula sebarang perkembangan yang dibuat dan tindakan yang boleh dibuat untuk merealisasikannya.


5. Buat perubahan berdasarkan matlamat kewangan


Semasa membuat semakan terhadap matlamat kewangan jangka pendek dan jangka panjang, kenal pasti samada matlamat anda berkait dengan pendapatan semasa. Pada masa kini, anda sudah mempunyai belanjawan dan rancangan untuk membayar hutang dan menyimpan untuk persaraan, adakah anda sedar berapa banyak duit anda yang tinggal untuk pelan kewangan anda? Adakah anda perlu mengubah semula pelan masa yang telah ditetapkan? atau adakah anda boleh mengubah pendapatan anda?

6. Apa yang boleh dibuat jika matlamat melebihi kemampuan?


Jika anda mendapati bahawa matlamat kewangan melebihi pendapatan, lihat dan teliti semula belanjawan anda. Kenal pasti setiap kategori dan cari cara untuk mengurangkan jumlah perbelanjaan bulanan. Tidak mustahil anda akan mendapati bahawa minuman seperti kopi di kafe hipster atau menjamu selera di luar boleh menyebabkan perbelanjaan yang melebihi daripada sepatutnya.


Susun semula belanjawan anda. Majoriti perbelanjaan berlaku dalam 2 atau 3 bahagian daripada keseluruhan belanjawan. Bagi kebanyakan individu, ia adalah hartanah, makanan dan kenderaan. Ada kalanya penjagaan kesihatan, cukai dan penjagaan anak-anak juga boleh mengambil jumlah yang besar dalam perbelanjaan. Sebarang perubahan yang dibuat untuk perbelanjaan utama ini mampu mengubah belanjawan tahunan anda.


Menambah sumber pendapatan juga adalah efektif untuk membolehkan anda mencapai matlamat kewangan yang diingini. Jika anda mempunyai sebarang kemahiran seperti menulis, mengajar atau membuat kek, pertimbangkan untuk memasarkan kemahiran tersebut bagi menjana pendapatan tambahan. Jika anda mempunyai kekangan daripada segi masa dan tenaga, anda boleh memilih untuk melakukannya secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat. Ia mampu menjimatkan masa dan memudahkan anda untuk menumpukan perhatian terhadap keluarga tersayang.

Kesimpulan


Ramai orang menjalani kehidupan mereka tanpa sebarang pelan kewangan yang stabil. Antara sebabnya adalah merasakan ia adalah bebanan dan tidak mampu membuat pelan kewangan sendiri. Mereka juga percaya yang ia hanyalah untuk golongan yang berpendapatan tinggi dan merasakan mereka perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan khidmat profesional untuk menguruskan pelan kewangan. Tetapi anda tidak perlu khuatir dan takut untuk melakukannya kerana merangka pelan itu mampu menyediakan diri dengan sebarang perkara tidak diduga yang boleh berlaku terhadap kewanngan anda pada masa depan.


Apakah antara langkah yang anda rasakan amat penting semasa merancang pelan kewangan keluarga?

63 views

© 2020 Wealth Vantage Advisory

  • Facebook Social Icon
  • LinkedIn Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • YouTube Social  Icon