Search
  • Nurul Khairiah Mohamed Yusof

6 Tip Berjimat Secara Mesra Alam

Mesra alam dan dalam masa yang sama dapat menabung untuk masa depan? Bagaimanakah cara yang betul untuk berjimat sambil menjaga alam sekitar?

Tiga bulan yang lalu, kita menyambut Hari Bumi pada 22 April dengan matlamat untuk mempromosikan pemeliharaan alam sekitar dan gaya hidup hijau. Dengan ancaman perubahan cuaca yang ekstrem seperti kebakaran hutan secara besar-besaran di Australia, adalah amat penting untuk memelihara alam sekitar.


Ya, mungkin anda akan berfikir bahawa untuk hidup secara ‘hijau’ misalnya seperti membeli makanan organik adalah lebih mahal berbanding makanan yang diproses tetapi terdapat beberapa langkah lain yang boleh dipraktikkan untuk membantu dalam usaha berjimat-cermat sambil mengurangkan langkah karbon anda.


#1. Kurangkan penggunaan kenderaan


Walaupun anda memilih untuk memandu kereta hibrid, bahan api yang dilepaskan masih menyumbang kepada pencemaran udara di persekitaran kamu. Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dengan capaian pengangkutan awam yang meluas, ia adalah lebih mudah dan jimat apabila tidak mempunyai kenderaan. Dengan memanfaatkan pengangkutan awam untuk ke destinasi yang diingini, bukan sahaja ianya lebih jimat tetapi lebih mudah kerana anda tidak perlu menempuh kesesakan jalan raya. Jika mod pengangkutan awam di kawasan anda tidak begitu baik, manfaatkan penggunaan basikal atau berjalan ke kawasan berdekatan atau berkongsi kenderaan sambil meminimakan penggunaan kereta.


#2. Kurangkan penggunaan penghawa dingin di kediaman


Mengurangkan atau menghentikan penggunaan alat penghawa dingin adalah salah satu kaedah yang baik untuk menjimatkan perbelanjaan pada bil utiliti selain mengurangkan kesan karbon. Jika ia masih perlu digunakan, pasang dalam mod jimat tenaga dan matikan jika anda tidak berada di kediaman.


Buat pengiraan berapa yang anda mampu jimatkan untuk bil utiliti jika tidak menggunakan alat penghawa dingin dan anda boleh pilih untuk menggunakan sumber lain seperti kipas yang lebih murah dan tidak menggunakan elektrik dengan banyak.


Bersihkan mesin anda dengan berkala untuk mengelakkan pembaziran elektrik kerana mesin peghawa dingin akan menggunakan tenaga yang banyak jika ia tersumbat dan penuh dengan habuk. Manfaatkan udara bersih dari luar dengan membuka tingkap bila perlu.

#3. Kitar semula barang anda


Sampah-sarap adalah penyumbang terbesar kepada pencemaran alam sekitar. Menurut angka yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), penghasilan sampah harian dalam kalangan rakyat di negara ini mencatat peningkatan sebanyak 100% kepada 38,142 tan pada tahun 2018, berbanding 19,000 tan pada tahun 2005.


Kitar semula barang anda adalah satu tabiat yang perlu diamalkan jika anda mahu menjimatkan wang daripada membeli barangan baharu. Misalnya, gunakan semula bekas sabun atau syampu dengan hanya membeli pek isian semula. Jika anda mahu membeli pakaian, manfaatkan kedai baju terpakai kerana anda boleh jumpa pakaian yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Ia juga mengelakkan daripada pakaian berkenaan menjadi sampah yang boleh mencemarkan persekitaran.


#4. Bina kebun sendiri dan berbelanja di pasar tani komuniti


Bercucuk tanam mampu menjadi hobi yang bukan sahaja untuk mengisi masa lapang, tetapi boleh menjimatkan perbelanjaan untuk makanan bagi keluarga anda. Jika rumah anda mempunyai tanah atau ruang yang mencukupi, mulakan dengan menanam sayuran yang mudah dijaga seperti cili, taugeh atau bawang. Selain menjimatkan belanja barangan harian, ia adalah salah satu cara untuk menikmati makanan yang bebas racun seranggan dan bahan kimia lain yang biasa digunakan di kebun komersial.


Manfaatkan juga pasar komuniti anda untuk mencari bahan masakan yang segar dan lebih murah. Dalam masa yang sama, anda memainkan peranan menyokong perniagaan peniaga tempatan dan mengurangkan kesan tapak karbon anda.

#5. Jimatkan penggunaan air


Ya, ia kedengaran mustahil untuk dilakukan. Air adalah elemen yang amat penting dalam kehidupan. Tetapi anda boleh jimatkan penggunaannya dengan menutup pili air semasa memberus gigi, mandi hanya dua kali sehari dan tidak meninggalkan pili air atau air pancut terbuka untuk jangka masa yang lama.


#6. Fikir sebelum buang


Anda mungkin pernah menonton rancangan konsultan teknik pembersihan dan susun atur barangan kegunaan harian, Marie Kondo. Prinsip utama yang sering ditekankan adalah kenal pasti samada sesuatu barangan tersebut mampu memberikan keseronokan dan kebahagiaan, dan jika tidak, ia perlu dibuang. Tetapi, fikir dengan sebaiknya sebelum barangan itu dibuang.Ia bukan bermaksud anda mahu memulakan tabiat mengumpul yang obsesif tetapi ia untuk mengurangkan pembuangan sampah di tapak pembuangan sampah.


Salah satu kaedah yang boleh diamalkan adalah mengasingkan sampah mengikut kategorinya dan manfaatkan pusat kitar semula di kawasan anda dengan menjual semula sampah yang boleh dikitar semula. Jika anda mempunyai ruang yang lebih, boleh juga memulakan proses membuat baja kompos dengan mengitar sisa makanan yang boleh digunakan untuk kebun kecil anda. Lebih jimat dan hasil tanaman adalah segar dan bebas daripada racun serangga perosak atau baja kimia.

Kesimpulan


Mungkin konsep hidup mesra alam ini kedengaran agak sugar, tetapi tidak mustahil untuk dilakukan jika dilakukan dengan berdisiplin. Selain prihatin untuk alam sekitar, anda juga mampu menjimatkan perbelanjaan harian dan wang lebihan itu boleh digunakan untuk simpanan pada masa depan dan juga waktu kecemasan. Tidak rugi untuk prihatin terhadap alam sekitar anda. Mulakan langkah pertama anda untuk menjaga alam sekitar dengan mengamalkan gaya hidup yang mesra alam dan kurangkan pembaziran.


Apakah antara cara lain yang anda lakukan untuk memastikan perbelanjaan anda adalah mesra alam dan juga lebih cermat?

9 views

© 2020 Wealth Vantage Advisory

  • Facebook Social Icon
  • LinkedIn Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • YouTube Social  Icon