Search

7 Cara Menguruskan Tekanan Kewangan Anda

Masalah kewangan boleh menyebabkan seseorang mengalami tekanan emosi dan mental kerana gaya hidup mereka yang terjejas. Ketahui beberapa cara untuk menguruskan tekanan kewangan anda.

Tekanan kewangan adalah bebanan terhadap emosi yang disebabkan oleh kewangan. Sesiapa sahaja boleh mengalami tekanan kewangan ini, namun ia mungkin lebih kerap terjadi dalam isi rumah yang berpendapatan rendah. Tekanan kewangan boleh berpunca daripada tersekat di dalam hutang, berpendapatan rendah, belanja menguruskan anak-anak ataupun membina keluarga bersama pasangan yang tidak bijak dalam pengurusan wang.


Jika anda boleh mengurangkan tekanan kewangan diri, anda mampu memberi fokus terhadap situasi kewangan diri. Berikut merupakan beberapa cara untuk mengurangkan tekanan kewangan dan lebih mudah untuk berfungsi bagi urusan seharian.

#1. Kenal pasti Masalah Kewangan Anda


Tiada siapa yang lebih mengetahui tentang situasi kewangan berbanding diri anda sendiri. Tanya diri anda, mengapa anda mengalami tekanan kewangan? Adakah disebabkan corak perbelanjaan? Adakah anda ketagih berbelanja? Tidak dibayar sepatutnya dalam pekerjaan? Adakah anda berbelanja melebihi kemampuan? Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan tekanan kewangan. Ia seperti penyakit; kenal pasti sebab dan anda boleh mengetahui penawarnya.

#2. Fahami hutang sedia ada


Jika anda mempunyai hutang kad kredit, bil yang tidak berbayar atau berhutang dengan orang lain, selesaikannya terlebih dahulu. Selain itu, berhenti menggunakan kad kredit anda jika hutang yang ada sudah sedia banyak. Jika anda mempunyai hutang pinjaman pendidikan, kenal pasti bagaimana untuk menyelesaikannya. Menjadi bebas hutang adalah antara cara untuk mencapai kebebasan kewangan. Melalui cara ini, anda tidak perlu bimbang dan boleh tidur dengan tenang pada waktu malam apabila ia menjadi lebih terkawal. Lebih cepat anda membayar hutang, lebih pantas anda bebas daripada kekangan kewangan dan mengurangkan bebanan terhadap kesihatan mental anda.

#3. Cipta Bajet yang Sesuai


Kendalikan kewangan anda dengan mengutamakan keperluan harian. Jika anda perlukan catatan dalam bentuk jurnal atau dokumen, gunakan dengan sebaiknya. Berikut merupakan contoh senarai perbelanjaan yang boleh digunakan dalam bajet anda.


Pendapatan Bulanan: RM9,000


Perbelanjaan bulanan:

  • Pinjaman bank/sewa: RM1,000

  • Cukai: RM1,100

  • Insuran: RM200

  • Bayaran bulanan kereta: RM500

  • Hutang kad kredit: RM600

  • Bil Elektrik: RM100

  • Gas untuk memasak: RM35

  • Bil air: RM70

  • Bil telefon: RM80

  • Barangan dapur dan makanan: RM600

  • Perubatan: RM500

  • Perbelanjaan lain: RM1000

  • Selebihnya untuk simpanan

Membuat bajet (walaupun ringkas) membolehkan anda menetapkan had dalam berbelanja. Jika anda mempunyai lebihan wang, elakkan untuk menggunakannya dengan banyak. Adalah lebih baik mempunyai simpanan daripada kesempitan wang kerana membeli barangan yang tidak diperlukan.

#3. Cari sumber pendapatan tambahan


Jika anda rasa mustahil untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi terutamanya semasa pandemik, anda boleh membuat kerja sampingan. Bergantung kepada hanya satu sumber pendapatan mungkin sukar terutamanya jika gaji anda jatuh di bawah gaji minimum. Tetapi, di samping berusaha untuk menambahkan pendapatan, pastikan kesihatan anda terjaga dan tidak memaksa diri untuk bekerja.

#4. Berbincang dengan keluarga


Beban kewangan adalah sesuatu yang tidak boleh disimpan oleh diri sendiri terutamanya jika anda mempunyai tanggungan seperti anak-anak atau ibu bapa. Duduk dan berbincang bersama mereka untuk situasi anda. Terangkan kepada anak-anak anda secara tenang tentang keadaan semasa dan mengapa tiada permainan baru atau gajet yang boleh dibeli buat masa kini. Berbincang juga dengan pasangan tentang bagaimana untuk menguruskan perbelanjaan rumah.


Berbincang dengan ahli keluarga bukanlah mudah, terutamanya jika anda adalah seorang yang berdikari, tetapi percaya atau tidak, ia mampu memberikan anda sokongan emosi (jika bukan kewangan). Anda tidak boleh menyimpan semua emosi tersebut kerana ia akan memberi impak kepada kesihatan mental


Lebih awal anda mendapatkan pertolongan untuk masalah anda, lebih cepat ia dapat diselesaikan.


#5. Dapatkan Nasihat Profesional


Terdapat pelbagai organisasi, kumpulan sokongan dan agensi kewangan yang menyediakan kaunseling percuma untuk menghadapi isu kewangan.

Antara agensi yang terlibat adalah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang bertanggunjawab memberikan program pengurusan kredit untuk membantu individu terkesan mengawal semula kehidupan akibat bebanan kredit. Info tentang program pengurusan kredit boleh didapati di sini.


Selain itu, anda juga boleh mendapatkan khidmat perancang kewangan berlesen untuk mengetahui situasi kewangan semasa dan bagaimana menguruskan kewangan anda secara holistik.

#6. Pengurusan tekanan


Belajar bagaimana untuk menguruskan tekanan, dan cuba untuk tidak terlalu berfikir tentang masalah anda. Jaga kesihatan fizikal: makanan seimbang, tidur yang cukup, tidak bekerja terlalu kuat dan bersenam.


Kesihatan fizikal juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental anda, jadi pastikan ia terjaga dan tidak jatuh sakit. Selain itu, belajar untuk mengawal tekanan melalui teknik bertenang, bernafas secara dalam dan cuba berfikiran positif. Jika anda terus berkerut dan muram, ia tidak akan mengurangkan tekanan sedia ada.