top of page
Search

AKPK Pupuk Literasi Kewangan Dalam Masyarakat

By Nurul Khairiah Mohamed Yusof


Usaha AKPK untuk melahirkan generasi celik kewangan.


Dalam satu artikel yang dipetik dari The Star baru-baru ini telah mengeluarkan satu statistik yang mengejutkan apabila sebahagian daripada rakyat Malaysia atau 52 peratus daripadanya tidak mampu untuk mengeluarkan RM1,000 bagi hal kecemasan.

Apakah yang menyebabkan perkara sebegini terjadi? dan apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan kita mampu menyediakan wang untuk hal-hal kecemasan pada masa akan datang?


Menurut Pengurus Pendidikan Kewangan, Agensi Pengurusan Kewangan Kebangsaan (AKPK), Mohamad Mafrukhin Mokhtar, antara penyebab perkara tersebut adalah sikap individu sendiri yang sengaja melambatkan untuk menyimpan duit.


“Walaupun mereka mempunyai pengetahuan tentang pengurusan kewangan, tetapi kesedaran untuk melakukannya masih di takuk lama”

“Jika tiada sebarang langkah diambil ia tidak akan terjadi dan akhirnya akan menyesal di kemudian hari,” katanya baru-baru ini.


Tambahnya lagi, ada juga yang tidak didedahkan dengan pengetahuan yang menyeluruh tentang bagaimana mahu menyimpan dan tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.


“Namun, antara sebab yang sering diperkatakan adalah kos sara hidup yang tinggi dan hutang yang banyak sehingga tidak mampu menyimpan.


“Alasan ini akan terus didengari mungkin hingga 30 tahun akan datang kerana kos sara hidup akan sentiasa meningkat,” ujarnya.


Peranan AKPK dalam meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia


Bagi meningkatkan tahap literasi kewangan di negara ini, Mafrukhin telah menyenaraikan tiga program oleh AKPK  untuk rakyat Malaysia.


  • Program Pendidikan Kewangan melalui ceramah umum dan penerangan yang dijalankan di seluruh negara tentang kepentingan pengurusan kewangan. Ia tidak terhad kepada individu tetapi juga untuk organisasi yang mahu meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan pekerjanya.



  • Program Kaunseling Kewangan yang memberikan kaunseling tentang bagaimana untuk menguruskan kewangan dengan berkesan terutamanya kepada mereka yang mempunyai masalah kewangan.



  • Program Pengurusan Kredit memberikan peluang kepada individu untuk berbincang dengan kaunselor AKPK supaya perbincangan boleh dilakukan dengan pihak bank berkaitan pelan pembayaran semula pinjaman secara peribadi. Ia adalah percuma untuk individu.



Saranan AKPK kepada individu dan keluarga untuk mengubah situasi kewangan masing-masing.

Terdapat pelbagai kaedah yang disenaraikan AKPK untuk mengubah situasi kewangan dan meningkatkan taraf hidup supaya boleh bersedia untuk hari kecemasan.


  • Menyedari posisi kewangan sendiri iaitu samada kamu selesa atau tidak dengan punca pendapatan terkini. Adakah kamu mampu membeli barangan keperluan dan juga mempunyai wang untuk hal kecemasan. Jika tidak, dapatkan pertolongan dan nasihat daripada pihak yang diktiraf seperti Bank Negara Malaysia, AKPK dan juga perancang kewangan.


  • Bagi mereka yang tergolong dalam golongan berpendapatan rendah atau B40, buat analisa kewangan dan rancang perbelanjaan dengan sebaiknya. Pastikan ada simpanan untuk setiap bulan walaupun hanya RM50 tetapi ia sangat penting untuk kesejahteraan pada masa akan datang.


  • Punya perancangan untuk menambah punca pendapatan antaranya dengan meniaga atau berdaftar Skim eRezeki daripada kerajaan.


Impak literasi kewangan yang berkesan terhadap masyarakat Malaysia


  • Mempunyai pengetahuan tentang kaedah berkesan untuk membuat simpanan.


  • Kestabilan mental dan emosi selain sekaligus meningkatkan produktiviti dalam kehidupan seharian.


  • Menjadikan sumber pendapatan yang rendah sebagai motivasi untuk berusaha dengan lebih kuat bagi memberikan tahap kewangan yang lebih baik.


Pelan masa depan AKPK


Menurut Mafrukhin, AKPK telah mewujudkan satu Pelan Pendidikan Kewangan yang mahu mengubah tingkah laku masyarakat selain meningkatkan kesejahteraan kewangan mereka.


“Ia akan melihat kaedah terbaik untuk memberikan pendidikan kewangan dan bagaimana mahu memastikan setiap golongan samada muda, tua, bekerja dalam sektor swasta atau kerajaan, lelaki dan perempuan mampu memperoleh manfaat daripadanya.


“Setiap golongan mempunyai keperluan dan kehendak berbeza, jadi amat penting untuk memastikan maklumat sampai dengan berkesan,” katanya lagi.


Menyedari posisi kewangan sendiri boleh membawa perbezaan yang ketara dalam kehidupan terutamanya apabila menghadapi situasi kewangan yang tidak diduga.


Apakah tabiat yang anda rasakan perlu dimulakan untuk menerapkan literasi kewangan dalam kehidupan? Kongsi dengan kami dalam ruangan komen di bawah.


161 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários


bottom of page