Search
  • Nurul Khairiah Mohamed Yusof

Pendidikan Kewangan Berkesan Lahir Masyarakat Celik Kewangan

Oleh Nurul Khairiah Mohamed Yusof


Pendidikan pengurusan kewangan menjadi salah satu bidang yang sepatutnya diterokai dengan lebih mendalam

Kekurangan literasi kewangan menjadi salah satu masalah terbesar di negara ini. Perkara ini dibuktikan oleh satu statistik yang dikeluarkan baru-baru ini apabila 52 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mampu menyediakan RM1000 untuk urusan kecemasan.


Apakah yang menyebabkan situasi ini terjadi?


Penyebab tahap literasi kewangan yang rendah di Malaysia


Kurang kesedaran untuk menjaga kewangan


Menurut Azizi Ali, penulis buku dan penceramah terkenal kewangan, ramai yang tahu akan kepentingan duit untuk simpanan tetapi tidak sedar akan kepentingannya.

“Mereka juga kekurangan pengetahuan tentang kewangan kerana ada antaranya yang tidak tahu bagaimana untuk menyimpan beberapa peratus daripada pendapatan mereka. Subjek kesedaran kewangan juga tidak diajar di sekolah-sekolah sekaligus menyebabkan tiada pendedahan yang menyeluruh tentangnya,” katanya kepada MyPF baru-baru ini.

Ibu bapa juga tidak boleh memberikan didikan yang sepenuhnya kerana ramai antaranya yang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi.


Tidak minat untuk menjaga kewangan diri


Tidak mempunyai minat atau semangat untuk mendalami ilmu berkaitan pengurusan kewangan hingga akhirnya memakan diri pada usia tua. Apabila menginjak usia tua, penyesalan mula hadir dan tidak mudah untuk memulakannya.


Pihaknya juga percaya bahawa kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah  yang perlu untuk menitipkan semula kesedaran tentang pengurusan kewangan diri yang berkesan.


Usaha yang telah dilakukan untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dalam masyarakat

Azizi berkata, dia sudah menulis buku berkaitan kewangan selama 20 tahun kerana mahu berkongsi pengetahuannya yang diperoleh daripada pembelajaran kendiri.


“Semasa buku pertama saya, ‘ Jutawan Dari Planet Jupiter’ terjual lebih 200 ribu salinan kira-kira 20 tahun lalu, ramai yang bertanya kepada saya bagaimana untuk menjadi seperti yang dibincangkan dalam buku tersebut.Pada waktu itu, saya menyedari bahawa masih ramai lagi yang berada di dalam ‘gelap’ tentang kewangan mereka walaupun mempunyai gaji yang lumayan,” ujarnya.

Susulan itu, ia telah memberikan ilham kepada Azizi untuk mendidik masyarakat tentang kewangan dan bermulalah perjalanannya sebagai penulis buku dan penceramah bebas kepada organisasi dan seminar tertutup tentang kewangan.


Tiga tahun lalu, beliau berjaya memperoleh Lesen Perunding Kewangan Islam (IFP) yang diambil untuk menambah pengetahuan.


Walaupun dia tidak mempraktikkan lesen tersebut tetapi dia turut memberi panduan kepada kliennya untuk memulakan perniagaan dan juga membuat pelaburan.


Perancangan masa depan


Tidak mahu lari daripada menulis, Azizi merancang untuk menulis lebih banyak buku berkaitan kewangan pada masa akan datang.


Beliau turut berminat dengan subjek mata wang bitcoin dan kripto yang semakin popular kini. Menurutnya, tidak ramai pakar kewangan yang mahir dalam bidang tersebut dan ia merupakan salah satu cabang yang menarik untuk diterokai.


Beliau telah menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Rahsia Bitcoin’ yang membincangkan dengan lebih mendalam tentang mata wang kripto itu.


Selain itu, beliau turut merancang untuk memberikan lebih banyak ceramah berkaitan kewangan terutamanya tentang mata wang kripto.


Nasihat untuk rakyat Malaysia yang mahu mengubah situasi kewangan mereka

Azizi turut memberi pesanan kepada pembaca untuk sentiasa menimba pengetahuan baru tentang pengurusan kewangan dan menyedari kepentingan wang. Belajar untuk menyimpan wang dengan berdisiplin.

“Kamu mungkin tidak menjadi insan yang paling kaya tetapi kehidupan kamu akan lebih baik jika tindakan yang betul telah diambil,” ujarnya

Tetapkan juga pelan jangka panjang bagi melihat kesan yang lebih baik dan berpanjangan.


Apakah bentuk pendidikan pengurusan kewangan yang paling berkesan untuk anda? Kongsikan dengan kami dalam ruangan komen di bawah.

20 views

© 2020 Wealth Vantage Advisory

  • Facebook Social Icon
  • LinkedIn Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • YouTube Social  Icon