top of page
Search
Writer's pictureWealth Vantage Advisory

Saya Juraimi dan Ini Cara Saya Berbelanja

Oleh Muhammad Juraimi Judin


Berbelanja untuk gajet masih menjadi antara pilihan utama kini kerana hampir setiap aspek kehidupan memerlukan teknologi dan gajet untuk berhubung dan bekerja. Ikuti pengalaman perancang kewangan berlesen WVA, Juraimi Judin dalam membeli telefon bimbitnya.

Telefon. Ia adalah peranti (gadget) yang paling kerap digunakan oleh seseorang terutamanya orang dewasa. Pelbagai ciri terdapat di dalam telefon bimbit yang pada suatu ketika dahulu, kita perlukan beberapa jenis peranti untuknya seperti kalkulator, kamera, pemain muzik (ingatkah anda dengan Walkman?), malahan ia turut menggantikan surat khabar dan televisyen. Jadi tidak hairan jika ada yang begitu memilih telefon idaman mereka, hanya kerana mereka mahukan pengalaman telefon bimbit yang dapat memenuhi kriteria dan keperluan mereka.


Apabila telefon lama saya sudah habis tempoh sokongan oleh pengeluar telefon tersebut, saya rasakan berada dalam tekanan untuk mendapatkan telefon baharu. Kerana apa? Ianya bukan semata-mata disebabkan telefon tersebut sudah lama. Percaya atau tidak, telefon pintar yang saya gunakan sekarang ialah telefon ketiga yang dibeli sejak 2014 (tidak termasuk telefon pintar Blackberry yang dibekalkan oleh bekas majikan saya pada 2010). Telefon yang saya gunakan sebelum ini ialah BenQ F5 (2014 – 2016) dan Xiaomi Mi 5 (2016 – 2020).


Saya sudah melanjutkan tempoh penggunaan Mi 5 tersebut secara sendiri melalui penggunaan sistem (ROM) custom (sokongan kemaskini sekuriti terakhir oleh Xiaomi pada Disember 2018, tetapi saya menaiktaraf sistem operasi pada tahun 2019). Faktor utama yang membuatkan saya rasa perlu untuk menukar telefon ialah sokongan kemaskini sekuriti yang tidak lagi diberikan oleh pihak pengeluar, jadi jika saya terus gunakan telefon lama yang sudah di luar sokongan, ini mungkin menyebabkan telefon tersebut terdedah kepada bahaya keselamatan termasuk digodam dan ketirisan data serta mungkin menyebabkan kehilangan wang!


Perkara wajib yang saya lakukan dalam membuat sebarang pembelian peranti termasuk menimbang tara fungsi yang saya perlukan dan gunakan hampir setiap masa, dan juga sokongan kemaskini sistem operasi serta sekuriti oleh pihak pengeluar. Saya agak memilih telefon kerana ia bukanlah dipakai untuk tempoh yang sekejap, dan saya bukan seorang yang suka menukar telefon secara kerap kerana berasa leceh apabila melibatkan pemindahan data dan penetapan kali pertama untuk semua aplikasi yang digunakan pada telefon baharu.


Bagaimana Saya Merancang Pembelian


Ketahui nilai yang anda mahukan


Adakah anda rasa telefon melebihi RM5,000 baru dikira mahal? Atau sebarang telefon bernilai lebih RM1,000 sudah meletupkan minda anda? Ini adalah sesuatu yang sangat subjektif pada setiap orang.


Bagi saya, nilai itu perlu diukur dengan berapa lama sokongan kemaskini sistem dan sekuriti yang diberikan oleh pengeluar. Sebagai contoh, jika telefon berharga RM5,000 tetapi sokongan yang diberikan oleh pengeluar selama 5 tahun, ini bermaksud nilai telefon tersebut ialah RM1,000 setahun. Berbanding telefon bernilai RM3,000 tetapi sokongan hanya selama 2 tahun, ini bermaksud nilai telefon ini lebih mahal berbanding telefon RM5,000 iaitu RM1,500 setahun.


Hijau atau kuning? (Baru atau lama? atau import?)


Sekiranya anda terbuka untuk memilih telefon terpakai atau telefon import, anda mempunyai lebih banyak pilihan. Namun bagaimana anda mahu menilai sama ada ia adalah pembelian yang berbaloi?


Saya merujuk semula kepada perkara pertama di atas – ia bergantung kepada sokongan yang diberikan oleh pengeluar. Misalnya:


Telefon X dilancarkan pada Januari 2022 bernilai RM3,000, dengan sokongan kemaskini sistem & sekuriti selama 3 tahun (berakhir Disember 2024). Anda sedang berkira-kira untuk membeli telefon tersebut pada Julai 2022. Secara kiraan mudahnya, telefon tersebut akan susut nilai pada kadar RM83.33 sebulan (RM3,000 bahagi 36 bulan), dan pada Julai 2022, telefon itu bernilai RM2,500 (RM83.33 kali 6). Jika terjumpa telefon X tersebut pada harga tersebut, ia boleh dianggap sebagai harga yang munasabah. Ia dengan anggapan bahawa nilai telefon tersebut jatuh ke nilai RM0.00 pada Disember 2024. Pada waktu itu, sebarang nilai yang ditetapkan penjual boleh dikira sebagai bonus untuk mereka. Namun, kita perlu berfikir sebaiknya samada kita perlukan telefon yang sudah mempunyai sokongan kemaskini oleh pihak pengeluar (berkaitan dengan sebab yang saya nyatakan di awal artikel ini).


Kenali jenama mengikut fungsi


Jika anda melakukan kajian, anda akan mendapati bahawa setiap model dibina dengan 1 atau 2 fungsi yang dicanangkan sebagai fungsi utama telefon tersebut. Untuk lakukan perbandingan ini, kita patut meneliti apakah fungsi yang kita sangat perlukan atau hargai. Ini kerana tiada sebuah telefon yang all-rounder atau memenuhi kesemua kriteria. Sebagai contoh, jika anda mahukan mesra pengguna, mungkin telefon berjenama buah itu sesuai dengan anda. Atau jika anda mahukan telefon yang tidak perlu dicaj setiap masa, anda perlukan telefon dengan kapasiti bateri yang besar. Atau jika anda seorang yang sangat menghayati gambar dan mahukan gambar yang diambil cantik setiap kali butang shutter ditekan, anda perlu lihat ulasan-ulasan atau rating yang diberikan dalam bahagian ini.


Bagi saya, laman web seperti GSMArena.com dan DXOMARK.com perlu menjadi sahabat baik anda sewaktu membuat pemilihan telefon.


Jangan terburu-buru


Ini adalah nasihat yang biasa. Kerana anda akan menggunakan telefon ini untuk beberapa jam sehari dan melakukan pelbagai perkara dengan telefon ini (mungkin juga telefon ini sebagai alat untuk anda jana pendapatan!), amat penting bagi kita menilai betul-betul sebelum membuat keputusan. Kecuali anda seorang peminat gajet yang suka menukar dan mencuba telefon baru, dan anda tidak kisah untuk memindah data serta melakukan tetapan pada telefon baru, dalam kes ini anda mungkin dikecualikan.


Telefon Apa yang Saya Gunakan?


Saya sedang menggunakan Google Pixel 4XL. Ia adalah telefon import keluaran Google yang tidak terdapat di Malaysia dan tidak mendapat sokongan rasmi daripada Google di Malaysia. Namun ia masih mendapat sokongan kemaskini sistem dan operasi selama 3 tahun (berakhir Oktober 2022). Saya memilih telefon ini kerana sokongan kemaskini yang lama (3 tahun berbanding 2 tahun pada kebanyakan telefon Android), dan juga harga yang kompetitif berbanding harga dan nilai yang diberikan oleh kebanyakan pengeluar lain.


Nasihat Kewangan Kepada Rakyat Malaysia


Perkara yang paling penting adalah mengetahui status kewangan anda secara menyeluruh (in and out). Perlu ambil tahu jumlah yang masuk dan jumlah yang keluar terutamanya untuk perbelanjaan yang besar. Hal ini kerana kebanyakan orang tidak memantau perjalanan wang mereka dan akhirnya tidak tahu apa yang perlu dibuat. Jika anda mahu dapatkan bantuan Perancang Kewangan (yang berlesen ya), mereka memerlukan data-data menyeluruh ini sebelum membuat sebarang analisis lanjut. Jika anda boleh membantu mereka dengan maklumat ini, mereka boleh membantu anda dengan lebih cekap dan efisien.


Pastikan juga anda mempunyai tabung kecemasan yang boleh digunakan untuk sebarang tujuan kecemasan, seperti yang selalu disarankan selama 6 bulan untuk diri sendiri atau 12 bulan untuk perniagaan (perlu asingkan antara kewangan peribadi dan perniagaan jika anda mempunyai perniagaan – tidak kira sebagai pendapatan utama atau pendapatan sampingan).


Jadi, telefon apa yang anda sedang intai untuk telefon seterusnya?


About the author

Juraimi started working at Khazanah Nasional Berhad before being seconded to TalentCorp in 2011 under IT Project Management Office (ITPMO). Prior to joining Wealth Vantage Advisory Sdn Bhd (WVA), Juraimi has been advising clients in the area of IT & Management Consultancy since 2015. Now, he is a licensed financial planner and Chief Technology Officer with WVA.

131 views0 comments

Comentarios


bottom of page