Bakal berkahwin tidak lama lagi? Ketahui beberapa cara untuk pasangan melangsungkan perkahwinan dengan belanja yang minimum. (original article in english)
Melangsungkan perkahwinan, terutamanya di Malaysia tidak murah. Menurut artikel oleh The Asean Post ‘ Rising Wedding Costs in Southeast Asia, kos purata bagi majlis perkahwinan pada tahun 2019 adalah antara RM50,000 hingga RM200,000, tidak termasuk belanja bulan madu dan memulakan hidup baru bersama.
Namun, dunia dikejutkan dengan pandemik Covid-19 pada tahun 2020 dan segala-galanya berubah. Industri pengurusan acara, terutamanya yang melibatkan majlis perkahwinan menerima impak yang sangat besar.
Bagi pasangan yang bakal berkahwin, situasi ini mampu menjadi peluang untuk mengadakan majlis yang lebih ringkas dan tidak memerlukan belanja yang besar. Anda juga boleh mempunyai lebihan dana untuk kehidupan selepas berkahwin.
Berikut adalah 6 tip untuk melangsungkan majlis perkahwinan dengan belanja yang minimal.
#1. Hadkan jumlah jemputan
Jika anda mahu mengurangkan perbelanjaan majlis, perkara pertama yang boleh dibuat adalah melihat semula senarai tetamu anda.
Jumlah tetamu akan mempengaruhi jumlah belanja yang perlu anda keluarkan. Bagi setiap 10 orang tetamu, anda memerlukan lebih banyak meja dan fasiliti lain serta tidak lupa juga tempahan makanan yang banyak.
Kerajaan juga telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan mengehadkan sebarang majlis yang melibatkan kumpulan yang besar. Mereka yang tidak dijemput akan berasa terkilan? Usah risau kerana mereka lebih memahami keadaan tersebut disebabkan situasi semasa.
Anda juga boleh mempertimbang untuk mengadakan perkahwinan secara online atau dalam talian. Samada melalui siaran langsung dengan menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan Instagram. Kaedah ini mampu menjimatkan wang dan menyediakan peluang untuk tetamu menyaksikan majlis tanpa mendatangkan risiko kepada diri mereka dan tuan rumah. Ia turut menyediakan suasana yang lebih bersifat peribadi bersama keluarga di hari bahagia anda.
#2. Dapatkan pilihan menu katering yang lebih berpatutan
Jika anda biasa menghadiri majlis perkahwinan di negara ini, ia banyak melibatkan pilihan makanan yang pelbagai. Samada dalam bentuk berhidang atau bufet, kedua-duanya agak mahal dan boleh menjadi pembaziran makanan jika tidak diuruskan dengan betul. Antara pilihan makanan yang tidak menelan belanja yang besar ialah dalam bentuk minum petang atau sarapan pagi. Ya, mungkin ia kurang konvensional tetapi penyediaan makanan ini memerlukan masa yang lebih singkat dan kurang formal berbanding makan tengahari atau makan malam.
Pilihan lain yang boleh dibuat adalah dengan memberikan makanan yang sudah siap dibungkus kepada tetamu untuk dibawa pulang ke rumah. Ia bukanlah pilihan yang paling ideal tetapi mampu memudahkan tuan rumah untuk menjaga SOP dan penjarakan sosial. Makanan yang sudah siap dibungkus lebih jimat kerana tidak memerlukan ruang untuk menjamu selera dan tenaga manusia yang ramai. Sebagai bonus, makanan yang siap dibungkus akan mengurangkan kebarangkalian pembaziran makanan selain membantu mengurangkan risiko penyebaran Covid-19.
#3. Kad jemputan secara maya
Dengan situasi pandemik terkini, sudah pasti kita mahu mengurangkan masa untuk berjumpa dengan individu lain. Daripada anda berjumpa dengan individu lain untuk memberikan kad jemputan, mengapa tidak menggunakan kaedah jemputan maya atau E-invite.
E-invite mampu menjimatkan belanja kerana anda boleh mengurangkan kos cetakan kad jemputan kahwin dan anda tidak perlu berbelanja lebih untuk menghantar kad tersebut. Hanya dengan satu klik, tetamu sudah boleh mendaftar untuk menghadiri majlis.
Bukan hanya anda boleh berjimat, ia juga adalah pilihan yang lebih mesra alam kerana tiada sebarang pembaziran kertas akan berlaku.
Anda dan pasangan juga boleh mengetahui jumlah sebenar tetamu yang akan hadir melalui senarai pendaftaran atau RSVP dan mampu merangka bajet yang lebih realistik untuk persiapan ruang dan katering makanan.
#4. Pilih ruang yang lebih kecil
Apabila jemputan majlis yang lebih kecil, sudah tentu anda tidak memerlukan ruang yang besar untuk majlis dan mampu menjimatkan perbelanjaan. Selain mengadakannya di rumah keluarga, anda juga boleh mencari pakej ruang acara yang sudah termasuk meja, kerusi dan pencahayaan yang baik. Jangan lupa memastikan terdapat ruang mencukupi untuk menetapkan kamera jika mengadakan siaran langsung perkahwinan anda di media sosial.
#5. Kurangkan kos baju pengantin
Membeli baju untuk majlis perkahwinan boleh menjadi mahal, terutamanya jika anda memilih untuk menggunakan khidmat pereka fesyen terkenal. Tetapi, daripada berbelanja besar untuk hari bahagia anda, mengapa tidak mempertimbang pilihan lain yang lebih jimat?
Sewa busana pengantin anda. Anda masih boleh mendapatkan rekaan baju yang cantik tanpa mengeluarkan belanja yang besar. Bonus: anda tidak perlu memikirkan apa yang boleh dibuat dengan busana anda selepas majlis selesai.
Dapatkan busana yang berpatutan dengan lebih awal dan jika perlu, anda boleh mengubahnya mengikut citarasa yang diinginkan. Jika beli 6 hingga 12 bulan lebih awal, dapatkan khidmat tukang jahit yang dipercayai untuk mendapatkan gubahan yang diingini.
Beli busana yang telah dipakai. Terdapat banyak platform jual beli barangan terpakai seperti Carousell dan Mudah, yang boleh digunakan
Pastikan juga jumlah busana yang diperlukan semasa majlis. Untuk pilihan yang lebih jimat, guna hanya satu sahaja busana semasa majlis dan jika mahukan gaya yang pelbagai, aksesori tambahan seperti rantai atau gelang untuk pengantin perempuan serta tali leher dan kot bagi lelaki boleh melengkapkan gaya anda dan pasangan.
#6. Cenderahati sederhana
Di Malaysia, terutamanya untuk kaum Melayu, tetamu tidak akan meninggalkan majlis dengan tangan kosong, sebaliknya mereka akan diberikan cenderahati atau hadiah sebagai token penghargaan daripada pengantin dan keluarga.
Namun, cenderahati atau token ini mampu menambahkan beban kepada perbelanjaan majlis anda.
Untuk memastikan anda tidak mengeluarkan belanja yang lebih, anda boleh memilih hadiah yang kecil tetapi istimewa. Misalnya, sudu kayu kecil yang hanya berharga RM2 hingga RM3 atau cawan kecil dengan ukiran yang cantik, boleh didapati di mana-mana kedai cenderahati berhampiran. Apa sahaja hadiah yang tidak mahal tetapi mempunyai nilai tersendiri.
Anda juga boleh mengelakkan pembaziran makanan dengan membungkus makanan lebihan untuk tetamu di dalam bekas mesra alam sebelum mereka pulang. Ia lebih praktikal dan dalam masa yang sama masih mengekalkan rasa asal makanan tersebut.
Kesimpulan
Merancang dan membuat bajet untuk majlis perkahwinan adalah salah satu tugas yang mampu mendatangkan tekanan terutamanya jika anda mahu berjimat-cermat. Tetapi jika anda tahu bagaimana untuk memastikan bajet anda terkawal, anda boleh menyimpan dengan lebih banyak untuk kehidupan selepas berkahwin.
Apakah persediaan yang dilakukan anda sebelum berkahwin?
Comments