Menyambut Hari Raya secara norma baharu adalah perkara yang perlu dihadapi untuk melawan pandemik Covid-19. Bagaimana anda menyambut Hari Raya secara bijak kewangan dalam norma baharu (Artikel sudah diubah mengikut kesesuaian semasa) (Original article in English)
Seperti tahun lalu, rakyat Malaysia perlu kreatif untuk menyambut Hari Raya bagi membolehkan semangat dan suasana berhari raya itu tetap ada walaupun disambut jauh dari keluarga.
Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Malaysia telah diumumkan semalam (10 Mei), rakyat perlu menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan sederhana untuk memastikan rangkaian jangkitan boleh diputuskan. Ahli keluarga hanya boleh berkumpul pada hari raya pertama sahaja dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 15 orang dan perlu mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan. SOP penuh boleh dirujuk di sini.
#1. Gunakan E-Duit Raya
Salah satu tradisi yang menarik semasa hari raya adalah memberi atau menerima duit raya. Disebabkan keluarga dan rakan-rakan yang jauh daripada kita, ini adalah masanya untuk membawa tradisi tersebut dengan sentuhan teknologi seperti e-Duit Raya.
Antara aplikasi e-Duit Raya yang boleh digunakan adalah menerusi aplikasi Maybank MAE dan DuitNow. Lebih menarik, aplikasi ini membolehkan anda menyertakan sekali kad raya digital dengan 5 tema yang berbeza dengan mesej khas dari anda!
Pada tahun ini, Boost eWallet juga memperkenalkan kempen “Raya dengan Tenang, Di Rumah kan Senang”. Bermula dari 10 May, pengguna Boost boleh menghantar dan menerima e-duit raya daripada keluarga dan rakan-rakan. Kemudahan terbaru ini boleh diakses di muka hadapannya. Pengguna aplikasi tersebut juga boleh menghantar kepada 10 penerima dalam satu masa berserta ‘sampul raya’ digital yang boleh dipilih sebelum menekan butang ‘hantar’.
Bank RHB turut menyediakan kemudahan e-duit Raya melalui aplikasi DuitNow menggunakan kod QR. Dengan setiap pindahan yang dibuat, anda berpeluang memenangi 10 gram jongkong emas HABIB bernilai RM2,545. Kempen bermula dari 15 April hingga 31 May 2021.
#2. Belanja Hari Raya dalam Talian
Anda boleh meneruskan aktiviti membeli-belah untuk hari raya secara selamat melalui platform dalam talian seperti Lazada dan Shopee.
Pastikan ia dilakukan secara bijak dan mengikut bajet dan senarai barangan yang telah ditetapkan supaya tidak terdorong untuk membeli barangan yang tidak perlu.
Sebelum membuat sebarang pembelian, terutamanya jika harganya agak tinggi, pastikan anda benar-benar memerlukannya. Tanya diri anda, adakah ia perlu? Dimana anda akan meletakkannya? Ada ruang yang cukup untuk menyimpannya? Digunakan untuk tujuan apa? Buat senarai baik dan buruk barangan itu untuk memastikan anda benar-benar memerlukannya dan bukan sekadar memenuhi keinginan yang tidak perlu.
#3. Berkongsi Juadah dan Resepi Kegemaran
Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat berbangga dengan warisan makanan semasa perayaan dan setiap keluarga mempunyai juadah istimewa yang disediakan semasa hari raya. Kita masih boleh meneruskan semangat berkongsi juadah dengan menyediakan makanan di rumah sendiri. Jika keluarga dan rakan anda tinggal tidak jauh dari anda, ia boleh dihantar melalui servis penghantaran seperti Lalamove, Grab Delivery, GoGet or MrSpeedy.
Jika mereka berada di luar kawasan, anda boleh mengadakan panggilan video menggunakan aplikasi seperti Skype atau Zoom untuk membuat juadah bersama-sama. Dengan cara ini, anda boleh berkongsi resepi dan pada masa yang sama, dapat berjimat daripada memesan makanan di luar – terutamanya apabila anda terkandas keseorangan semasa PKP dan tidak boleh pulang ke kampung halaman.
#4. Hubungi Keluarga dan Insan Tersayang melalui Teknologi
Dengan suasana PKP dan norma baharu, ramai antara kita yang tidak boleh pulang ke kampung halaman dan ada yang perlu menyambutnya berseorangan. Manfaatkan aplikasi panggilan video seperti WhatsApp, Facetime (untuk pengguna Apple), Zoom dan Skype untuk sesi minta maaf secara online.
Mungkin anda melihat cara ini sunyi dan sedih untuk menyambut Hari Raya, tetapi jika dilihat daripada sudut positif, ia boleh membantu anda menyimpan wang yang sebelum ini digunakan untuk pengangkutan bagi melawat kaum keluarga dan insan tersayang di kawasan lain.
Kesimpulan
Hari Raya adalah perayaan istimewa untuk rakyat Malaysia, terutamanya bagi umat Islam. Walaupun aktiviti kunjung-mengunjung dan berkumpul bersama keluarga besar tidak dibenarkan, anda masih boleh mengekalkan semangat tersebut dengan penggunaan teknologi dan sekaligus menjalankan tanggungjawab memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.
Selamat Hari Raya!
Bagaimana anda menyambut Hari Raya dalam norma baharu? Kongsi dengan kami dalam ruangan komen di bawah.
Comments